Home Sukan ENGLAND MAMPU TEWASKAN SESIAPA SAHAJA – RICE 

ENGLAND MAMPU TEWASKAN SESIAPA SAHAJA – RICE 

AMERIKA SYARIKAT: Declan Rice menegaskan England tidak perlu gentar berdepan mana-mana lawan dalam usaha menamatkan penantian 60 tahun untuk menjulang Piala Dunia selepas mempamerkan prestasi yang disifatkannya sebagai “penanda aras” ketika menewaskan Croatia.

Memetik AFP menerusi Berita Harian, walaupun masih terdapat beberapa kelemahan di benteng pertahanan, Three Lions memulakan kempen dengan kemenangan 4-2 di Dallas ke atas Croatia, pasukan yang mara ke separuh akhir dan final dalam dua edisi Piala Dunia terdahulu.

Kapten Harry Kane dan pemain tengah berpengaruh, Jude Bellingham masing-masing menemui sasaran, manakala Marcus Rashford turut mencuri tumpuan menerusi jaringan selepas masuk sebagai pemain gantian, sekali gus menyerlahkan kekuatan skuad England.

“Kami tahu tahap kemampuan kami sebagai pemain dan apa yang diperlukan. Prestasi separuh masa kedua itu mungkin menjadi penanda aras buat kami dari segi bagaimana kami perlu memulakan perlawanan pada tahap seperti itu,” kata Rice pada sidang media menjelang aksi kedua Kumpulan H menentang Ghana, awal pagi esok.

“Kami percaya jika dapat bermain seperti itu sejak minit pertama, ditambah pula dengan pemain yang mampu masuk dari bangku simpanan dan menamatkan perlawanan dengan baik, kami boleh menewaskan mana-mana pasukan di dunia. 

“Kami mahu yakin dengan kemampuan sendiri dan apa yang mampu kami lakukan di tengah padang.” 

Persembahan Rice ketika menentang Croatia menjadi antara sedikit perkara yang membimbangkan pengurus England, Thomas Tuchel. 

Pemain tengah Arsenal itu, yang memainkan peranan penting membantu The Gunners menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun musim ini, dikeluarkan pada babak kedua selepas mengharungi perlawanan ke-63 musim ini bersama kelab dan negara.

Bagaimanapun, Rice menolak dakwaan dia mula keletihan ketika kejohanan baru bermula.

“Tubuh saya sudah dibentuk dan disediakan untuk saat seperti ini, untuk mengharungi musim yang panjang.

“Saya rasa musim ini lebih mencabar dari sudut mental berbanding fizikal kerana emosi seorang pemain bola sepak boleh berubah dengan cepat.

“Ketika ini saya berada dalam keadaan mental yang sangat baik dan secara fizikal saya juga berasa cergas. Saya mahu terus mengekalkan keadaan ini sehingga tamat kejohanan.”

Walaupun tidak pernah memenangi sebarang kejohanan utama sejak menjulang Piala Dunia 1966, England beberapa kali hampir melakukannya di bawah bekas pengurus Gareth Southgate.

England tewas dalam final dua Kejohanan Eropah berturut-turut selain mara ke separuh akhir dan suku akhir Piala Dunia ketika di bawah kendalian Southgate.

Kemenangan ke atas Ghana akan mengesahkan tempat England ke pusingan 32 terakhir. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here