Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Malim Gunung Perhutanan (MGP) Pahang diseru memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam kawasan hutan simpan di negeri ini.
Seruan itu disampaikan Timbalan Pengarah (Operasi) JPNP, Dr. Grippin Akeng pada Program Pendaftaran MGP Negeri Pahang yang menghimpunkan lebih 160 MGP negeri ini di Dewan Bakawali, Kompleks Tun Razak (KOMTUR) Indera Mahkota, Kuantan.
Timbalan Pengarah (Operasi) JPNP, Dr. Grippin Akeng, berkata sempena program ini pihaknya turut menyerahkan kad pengenalan MGP Pahang kepada 62 ahli bagi siri ke-4.
Katanya, sekiranya mereka melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, pihak JPNP akan mengeluarkan surat amaran mengikut kesalahan yang dilakukan berserta tindakan tegas oleh pihak jabatan.

“Jabatan berharap MGP Pahang dapat menjadi mata dan telinga pada JPNP dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti yang menyalahi undang-undang berlaku dalam kawasan hutan simpan di negeri ini.
“Kita akan terus memberi sokongan dan kerjasama pada MGP Pahang dalam usaha memajukan produk pelancongan, yang penting mereka sentiasa mengikut peraturan ditetapkan jabatan,” katanya.
Menurutnya, MGP diingatkan untuk tidak melanggar kod etika yang ditetapkan seperti tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah, arak, cabul, bergaduh, memalsukan permit dan membawa keluar hasil hutan.
Beliau berkata, mereka yang ingin mengadakan aktiviti pendakian gunung dalam kawasan hutan simpan diwajibkan menggunakan khidmat MGP Pahang yang bertauliah. Selain sebagai pemandu pelancong mereka turut bertanggungjawab menyediakan permit memasuki hutan simpan.
Dr. Grippin berkata, setiap MGP perlu menjalani kursus yang disediakan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum mereka dibenarkan menjalankan tugas sebagai MGP.
“Setiap MGP bukan sahaja memiliki kemahiran laluan dalam hutan tetapi turut mampu memberi potongan cemas sekiranya pendaki mengalami kecederaan,”katanya.
Pada program berkenaan taklimat dan bacaan ikrar diadakan di samping peserta diberi peluang untuk bertanyakan pelbagai perkara berkaitan peraturan aktiviti di dalam hutan simpan kekal seperti pemohonan permit (e-Permit), pendakian dan perkhemahan.
IMedikel TV






