Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak menegaskan bahawa setiap tindakan, siasatan dan keputusan yang dibuat dalam pengendalian kes buruh adalah berlandaskan peruntukan undang-undang serta dilaksanakan secara profesional, bebas dan adil.
Dalam satu kenyataan media hari ini, JTK Sarwak memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa hantaran dan kenyataan yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini berkaitan pengendalian kes buruh yang melibatkan jabatan berkenaan.
Menurut JTK Sarawak, pihaknya mendapati terdapat pihak ketiga yang memuat naik dan menyebarkan pelbagai ulasan, pandangan serta dakwaan berhubung prosiding dan tindakan yang diambil oleh pegawai jabatan ketika melaksanakan tugas rasmi.
“Sebahagian daripada kenyataan tersebut mengandungi tafsiran, andaian dan tuduhan yang tidak menggambarkan keseluruhan fakta serta keadaan sebenar kes yang diperkatakan.
“Siasatan dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan prosedur yang berkaitan,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, pegawai jabatan melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas dan adil berasaskan fakta, keterangan serta dokumen yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang terlibat.
JTK Sarawak turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Buruh mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8M Ordinan Buruh.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar menghormati proses perundangan dan pentadbiran yang sedang berjalan serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak lengkap, tidak tepat atau mengelirukan sehingga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan memandang serius sebarang kenyataan, dakwaan, sindiran atau kandungan media sosial yang bersifat tidak benar, mengelirukan, berunsur fitnah atau berpotensi menjejaskan reputasi jabatan dan pegawai yang menjalankan tugas rasmi.
“Jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk merujuk perkara tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan kekal komited dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan secara telus, profesional dan berintegriti bagi memastikan hak serta kepentingan semua pihak sentiasa dilindungi mengikut lunas undang-undang,”jelas kenyataan itu.
IMedikel TV






