Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
RAUB: Sebanyak 491.29 kilogram (km) spesies ikan asing ditangkap pada Program Mitigasi Spesies Ikan Asing Daerah Raub 2026 di Taman Tasik Raub, di sini.
Program anjuran Jabatan Perikanan Pahang itu sebagai usaha berterusan memelihara ekosistem perairan darat serta biodiversiti tempatan.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, seramai 150 peserta pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program ini.
Katanya, program yang diadakan sebagai langkah mitigasi bagi mengawal pembiakan spesies invasif yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem perairan darat.

“Langkah seterusnya selepas ini Jabatan Perikanan Pahang akan melaksanakan pelepasan spesies ikan tempatan bagi membantu memulihkan semula ekosistem tasik serta memastikan kelestarian sumber perikanan darat terus terpelihara.
“Jabatan memandang serius kemunculan ikan asing di negeri, usaha mengawal dengan cara menangkap secara manual akan dilakukan secara berterusan dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau menambah, pihaknya kini berusaha mengesan terdapat individu yang terbabit dengan aktiviti menternak spesies ikan asing termasuk baung ekor merah yang boleh mengancam ikan tempatan di sungai utama negeri.
“Tindakan tegas mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Pindaan) 2024 membabitkan ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2024.
“Setiap tahun pihaknya mengadakan program kesedaran spesies ikan asing bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang impak negatif spesies ikan asing terhadap ekosistem sungai di negeri ini,”katanya.
Katanya, tanpa usaha bersungguh-sungguh tidak mustahil ikan baung ekor merah akan terus membiak dalam sungai utama di negeri ini seterusnya ikan tempatan termasuk udang galah akan terancam dan semakin sukar ditemui.
IMedikel TV






