Home Buletin Semasa LELAKI DITAHAN, 1,070 PIL YABA BERNILAI RM10,700 DIRAMPAS

LELAKI DITAHAN, 1,070 PIL YABA BERNILAI RM10,700 DIRAMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki 1,070 pil yaba dan air ketum dalam satu pemeriksaan jalan raya di Jalan Kampung Paloh Bukit Panau di sini.

Pemeriksaan itu dijalankan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Unit Kereta Peronda Polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu suspek membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum yang disyaki mengandungi bahan mitragynine.

“Bungkusan berkenaan ditemui di bahagian tempat letak kaki penumpang belakang sebelah kiri dengan isipadu kira-kira 500 mililiter.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian tempat letak kaki penumpang hadapan sebelah kiri menemukan sebuah beg berwarna putih yang mengandungi beberapa paket plastik berisi pil disyaki dadah jenis yaba yang mengandungi methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan rampasan melibatkan 1,070 biji pil yaba, terdiri daripada 1,058 biji pil berwarna merah dan 12 biji pil berwarna hijau dengan anggaran berat keseluruhan 107 gram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM10,700,”katanya.

Katanya, selain dadah dan air ketum, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai digunakan suspek.

Mohd Haki berkata, semua barang kes telah disita dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke IPD Tanah Merah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here