Tindakan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan kelas politik dan mendorong protes di jalanan, sekali gus memberi cabaran terbesar kepada pemimpin berusia 45 tahun itu dalam tempoh pemerintahannya kurang setahun dalam mandat kedua dan terakhirnya.
Semalam, polis melarang sebarang perhimpunan di dataran utama paris yang bertentangan dengan parlimen, tetapi ribuan penunjuk perasaan masih berhimpun di bahagian lain di ibu negara.
Tindakan Macron itu juga mencetuskan kesatuan menggerakkan satu hari lagi mogok dan perhimpunan di seluruh negara pada khamis ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati kira-kira dua pertiga rakyat Perancis menentang pembaharuan itu, yang memerlukan orang ramai bekerja lebih lama untuk memperoleh pencen penuh.
Kerajaan berkata, ia perlu untuk mengekalkan sistem daripada tergelincir ke dalam defisit dan membawa perancis sebaris dengan jirannya di eropah, di mana umur persaraan rata-rata lebih tinggi.
Namun, pengkritik berkata perubahan itu tidak adil bagi orang yang mula bekerja pada usia muda dalam pekerjaan yang mencabar fizikal dan bagi wanita pula, mengganggu kerjaya mereka jika perlu membesarkan anak.
Di parlimen, ahli parlimen pembangkang memfailkan dua usul tidak percaya kepada kerajaan bagi mendapatkan sokongan untuk menjatuhkan kerajaan dan memansuhkan undang-undang yang akan dibahaskan esok, menurut sumber parlimen.
Bagaimanapun, kerajaan Perdana Menteri, Elisabeth Borne, sebahagian besarnya dijangka dapat menangkis sebarang undi tidak percaya.
Usul itu memerlukan sokongan kira-kira separuh daripada kumpulan pembangkang sayap kanan republikan, satu senario yang dilihat sangat mustahil.
Protes membantah reformasi pencen sejak pertengahan januari lalu itu kini semakin mendapat sokongan dan menarik penyertaan terbesar dalam tempoh beberapa dekad, namun beransur kurang sejak kebelakangan ini, sebelum kerajaan meluluskan RUU itu.
Antara lain, mogok pekerja kutipan sampah menjadi masalah terbesar apabila sekitar 10,000 tan sampah dibiarkan busuk di jalanan setakat semalam.
Semalam, seorang wakil kesatuan berkata peserta mogok di tiga Insinerator di luar Paris akan membenarkan beberapa lori sampah masuk bagi ‘Bagi Mengurangkan Risiko Epidemik Penyakit’.
Macron memulakan reformasi pencen sebagai agenda utama kempen pemilihan semulanya tahun lalu dan kehilangan majoriti di parlimen selepas pemilihan pada Jun lalu.
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






