BANGKOK: Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand yang mana angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada 25 orang, kata pegawai pada Selasa.
Banjir sejak 22 November menjejaskan lebih 660,000 rumah di selatan negara itu, kata agensi bencana negara di laman Facebook (FB).
Suwas Bin-Uma, pemilik ladang ayam di wilayah Songkhla, memberitahu penyiar negara Thai PBS, banjir memusnahkan lebih 10,000 ayam ternakannya.
“Saya kerugian sekurang-kurangnya tiga juta baht (kira-kira RM389,976),” katanya.
Lebih 22,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir di wilayah Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Yala, kata jabatan perhubungan awam kerajaan Thailand pada Isnin lalu.
Rakaman di media sosial menunjukkan penduduk di wilayah Songkhla menyusun beg pasir di hadapan rumah mereka pada Isnin, dalam usaha menghalang air banjir melimpah masuk dalam kediaman.
Ketua sebuah kampung di wilayah Yala, Abdullah Abu, memberitahu media tempatan bahawa banjir di kawasannya mencecah sehingga tujuh meter.
Pada masa sama pasukan penyelamat turut mengagihkan bantuan makanan berupa satu hidangan sehari kepada mangsa, katanya kepada Channel 7.
Hujan monsun lebat melanda Asia Tenggara setiap tahun, tetapi perubahan iklim buatan manusia menyebabkan corak cuaca lebih ekstrem mencetuskan banjir yang merosakkan.
Perubahan iklim menyebabkan taufan terbentuk lebih dekat dengan pantai, bertambah pantas dan berada lebih lama di darat, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Julai.
Agensi cuaca Thailand meramalkan lebih banyak hujan lebat di selatan sehingga esok (5 Disember).
Selasa lalu, Kabinet Thailand meluluskan bayaran 9,000 baht (kira-kira RM1,170) bagi setiap keluarga terjejas untuk meringankan beban mereka. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






