JAKARTA: Sebuah bom Molotov dilempar ke rumah seorang pengkritik kerajaan Indonesia, manakala yang lain menerima mesej ugutan, kata aktivis hak asasi.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, kejadian itu menunjukkan ancaman yang semakin meningkat terhadap kebebasan bersuara di negara Asia Tenggara itu.
Serangan itu berlaku selepas beberapa aktivis mengkritik tindak balas kerajaan terhadap banjir besar di Sumatera Utara pada November lalu, yang mengorbankan lebih 1,000 orang.
Menurut kenyataan bersama 91 kumpulan hak asasi, termasuk Rangkaian Kebebasan Bersuara Asia Tenggara dan Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia, tindakan ugutan itu merupakan serangan terhadap nilai demokratik dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan.
Ketua Pejabat Komunikasi Kerajaan, Angga Raka Prabowo, berkata Indonesia mengecam segala bentuk ugutan atau ancaman terhadap warganya, termasuk aktivis dan pencipta kandungan.
“Kerajaan menggalakkan proses perundangan jika terdapat dakwaan jenayah dalam bentuk ugutan atau keganasan,” katanya.
Ramond Donny Adam, atau DJ Donny, seorang personaliti media sosial dan ahli parti pembangkang, berkata bom Molotov dihantar ke rumahnya pada 31 Disember, tetapi gagal meletup.
Dua hari sebelum itu, dia menerima seekor ayam mati dalam kotak plastik, gambar wajahnya dengan tanda merah di leher, dan nota bertulis: “Kamu akan berakhir seperti ayam ini… Jangan main-main.”
“Saya telah melaporkan kedua-dua kejadian ini kepada polis dan kerajaan mesti mendedahkan siapa yang berada di belakangnya,” kata Donny, yang mempunyai sejuta pengikut di Instagram dan sering memuat naik mesej mengkritik kerajaan.
Identiti pelaku serangan itu masih tidak diketahui.
Pengarah Greenpeace Indonesia, Leonard Simanjuntak, berkata seekor ayam mati ditemui di hadapan rumah seorang penggiat Greenpeace pada 30 Disember, dengan mesej diikat pada kaki: “Perhatikan kata-katamu jika mahu melindungi keluarga, mulutmu adalah pedangmu.”
Simanjuntak mengesyaki ugutan itu berkaitan dengan kritikan Greenpeace terhadap polisi kerajaan mengenai banjir dan tanah runtuh di Sumatera. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






