Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 35.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di Simpang Tiga Dewan Kecil Labok, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita bersama empat orang anaknya dari arah Kuala Krai dipercayai sedang membelok masuk ke Simpang Dewan Kecil Labok yang berada di sebelah kanan jalan.
“Ketika kenderaan itu mula memasuki simpang, tiba-tiba sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang remaja lelaki dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai telah melanggar bahagian sisi kiri Perodua Myvi berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan Perodua Myvi berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan, Honda City, yang dipandu seorang wanita bersama dua orang anaknya yang sedang menunggu di simpang tersebut untuk keluar menghala ke Kota Bharu.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis binti Ibrahim di talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.
IMedikel TV






