Florida: Penantian panjang Rory McIlroy dan rakan sepasukan berakhir apabila Boston Common Golf akhirnya meraih kemenangan pertama mereka dalam musim kedua TGL selepas menundukkan Los Angeles 7-5 pada aksi di SoFiCenter, Florida.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, pasukan Boston, yang gagal meraih sebarang kemenangan pada musim sulung TGL 2025 dan menamatkan di tangga terakhir, memulakan kempen kedua mereka dengan penuh bergaya.
Michael Thorbjornsen menjadi wira apabila menamatkan aksi terakhir dengan eagle 15 kaki untuk menewaskan Sahith Theegala, sekali gus memastikan kemenangan pasukan.
McIlroy sendiri menyumbang satu mata dalam perlawanan perseorangan menentang rakan pasukannya dari Piala Ryder, Justin Rose, selepas melakukan birdie di lubang ke-10. Sebelum itu, McIlroy membantu Boston mendahului 4-3 dalam aksi triples dengan menyiapkan satu pukulan sukar ketika Hammer diambil.
“Banyak pukulan berkualiti, birdie dan eagle, Hammer dilempar dan peluru dielak. Perlawanan ini naik turun, tapi memang menyeronokkan.
“Ini memang kemenangan yang lama dinanti,” kata McIlroy selepas perlawanan.
Ketiadaan Adam Scott dan Hideki Matsuyama memberi peluang kepada Thorbjornsen untuk bersinar bersama McIlroy dan Keegan Bradley, yang turut beraksi cemerlang.
Kemenangan ini menandakan Boston Common Golf telah menebus kekecewaan musim lalu dan memulakan kempen 2026 dengan langkah kanan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






