Home Sukan ALGERIA BANGKIT SINGKIR JORDAN

ALGERIA BANGKIT SINGKIR JORDAN

AMERIKA SYARIKAT: Algeria bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Jordan 2-1 pada aksi Kumpulan J Piala Dunia sebentar tadi, sekali gus menghidupkan peluang mereka ke pusingan kalah mati dan menyingkirkan lawan itu daripada kejohanan.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, selepas bergelut untuk menembusi pertahanan Jordan yang kebal, Algeria berjaya mengubah rentak perlawanan menerusi dua gol dalam tempoh 13 minit pada babak kedua hasil jaringan Nadhir Benbouali dan Amine Gouiri.

Jordan bertahan dengan baik ketika diasak bertubi-tubi dan mengejutkan Algeria apabila mendahului pada minit ke-36.

Kesilapan pertahanan Algeria mencetuskan serangan balas pantas sebelum Nizar Al-Rashdan menyudahkan peluang itu menerusi rembatan leret ke penjuru gawang.

Algeria akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 apabila pemain gantian, Benbouali menanduk masuk sepakan penjuru Riyad Mahrez. 

Gouiri kemudian muncul wira apabila menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu memastikan Algeria terus bersaing untuk merebut tiket ke pusingan 32 terakhir, manakala Jordan tersingkir selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here