Home Luar Negara 40 PATI HILANG SELEPAS BOT KARAM DI ITALI – PBB

40 PATI HILANG SELEPAS BOT KARAM DI ITALI – PBB

164
0

ROM: Sekurang-kurangnya 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan hilang selepas kapal dinaiki mereka terbalik antara Tunisia dan Pulau Lampedusa, Itali, kata Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM).

IOM mengeluarkan kenyataan terbabit selepas merujuk pada keterangan empat mangsa yang terselamat daripada tragedi kapal karam itu.

IOM yang juga sebuah badan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata kesemua individu yang selamat itu berasal dari sub-Sahara Afrika, yang tiba di Lampedusa pada Khamis malam selepas diselamatkan oleh kapal lain.

Jurucakap IOM, Flavio Di Giacomo, berkata kebanyakan mangsa adalah dari Cameroon, Burkina Faso dan Ivory Coast. Antara mangsa yang hilang termasuk tujuh wanita dan seorang bayi baru lahir.

Mangsa yang terselamat memberitahu IOM, seramai 46 penumpang berlepas dari pelabuhan Sfax, Tunisia menuju ke Itali, bagaimanapun kapal mereka terbalik akibat cuaca buruk.

Menurut mereka lagi, lima penumpang dari kapal sama diselamatkan oleh kapal lain, sementara 37 orang lagi hilang, dikhuatiri sudah meninggal dunia, termasuk tujuh wanita dan seorang kanak-kanak, kata jurucakap IOM di Itali kepada Reuters.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) mengemukakan laporan yang sama mengenai tragedi kapal karam itu, tetapi memaklumkan mangsa yang dikhuatiri hilang adalah seramai 40 orang, bukan 37.

Wakil UNHCR di Itali, Chiara Cardoletti, berkata kemasukan PATI dari sub-Sahara Afrika semakin banyak berbanding warga Tunisia sejak November tahun lalu.

“Kita tidak boleh terus hanya mengira jumlah mayat di pintu masuk Eropah tanpa membantu mereka ini.

“Perlu ada penyelarasan usaha menyelamat dalam kalangan semua negara bersempadan, perlu ada kesedaran untuk menyelamatkan mereka atas dasar kemanusiaan,” katanya menerusi ciapan Twitter.

Terdapat juga peningkatan PATI melalui Laut Mediterranean dari Tunisia pada tahun ini selepas tindakan keras oleh pihak Tunisia terhadap migran dari sub-Sahara Afrika yang tinggal di negara itu secara haram selain dan laporan tercetus serangan berunsur perkauman di tengah-tengah kemelesetan ekonomi.

Sekurang-kurangnya 12 PATI Afrika hilang sementara tiga lagi meninggal dunia selepas tiga buah kapal tenggelam di Tunisia, menurut pegawai kehakiman pada Khamis, manakala penjaga pantai negara itu menyelamatkan 152 orang lain.

Tidak jelas juga, sama ada empat mangsa terselamat itu yang menceritakan kisah mereka kepada IOM adalah mangsa daripada salah sebuah daripada tiga kapal karam itu.

Kepulauan di selatan Itali, Lampedusa, adalah salah satu laluan masuk bagi PATI yang menyeberangi Mediterranean, dengan ketibaan lebih 46,000 PATI tahun lalu daripada keseluruhan 105,000 Pati yang tiba di Itali, menurut UNHCR. 

Sumber BH Online

Sumber AGENSI

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here