KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah menerima aset sebanyak 15 unit ambulans pacuan empat roda bernilai RM4.042 juta bagi memperkasa fungsi agensi itu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sebanyak lapan unit daripadanya diserahkan semalam untuk diagihkan ke beberapa daerah membabitkan Tuaran, Papar, Putatan, Ranau, Keningau, Pitas, Sandakan dan Kalabakan.
“Baki tujuh unit kenderaan ambulans pacuan empat roda bagi fasa kedua dijangka tiba dan akan diserahkan kepada APM Sabah pada 1 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan ambulans pacuan empat roda APM Sabah di Menara Kinabalu di sini, semalam.
Beliau berkata, inisiatif pengagihan ambulans pacuan empat roda itu dapat membantu APM Sabah dalam kesiapsiagaan menangani sebarang kecemasan atau bencana di daaerah khususnya di kawasan pendalaman.
“Inisiatif memperkenalkan dasar baharu membekalkan ambulans pacuan empat roda ke negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung khusus untuk kawasan luar bandar serta pendalaman ini adalah untuk memperkukuhkan APM di peringkat daerah. Itu asas paling utama,” katanya.
Armizan turut berkata, pengagihan ambulans pacuan empat roda diberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor geografi dua negeri Borneo terbabit.
Sumber BH Online
Imedikel TV






