Kulai, JOHOR: Aduan penipuan dalam talian paling tinggi diterima Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sejak awal tahun ini adalah membabitkan laman sosial Facebook.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata sepanjang tempoh itu sehingga 25 Mei lalu, pihaknya menerima sebanyak 744 aduan.
“Aduan kedua terbanyak adalah membabitkan penyedia pelayar Telegram iaitu 17, iikuti WhatApps (16) dan emel (satu aduan),” katanya selepas menonton filem Polis Evo 3 bersama komuniti polis dan warga Kulai di pusat beli belah Jusco Kulai di sini, hari ini.
Mengulas mengenai keenggan pengurusan Telegram mengadakan perjumpaan dengan kementeriannya susulan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik, Nie Ching berkata pihaknya kesal dengan keputusan mereka itu.
“Saya sendiri rasa amat kesal kerana Telegram langsung tidak berhasrat untuk berjumpa. Saya hendak tegaskan kami faham penyedia platform seperti ini ada garis panduan komuniti masing-masing.
“Kami sudah mengadakan pertemuan dengan penyedia pelayar lain seperti Tiktok, Facebook dan Google. Apabila kami adakan perjumpaan ianha adalah untuk memastikan aktiviti yang haram dan melanggar undang-undang boleh diambil tindakan secepat mungkin.
“Kami akan boleh hantar senarai (langgar kandungan) kepada penyedia platform. Bagaimanapun mereka (penyedia platform) masih guna pakai atau rujuk garis panduan komuniti untuk buat keputusan masing-masing sama ada kandungan itu akan dipadam atau tidak.
“Saya hendak buat satu perbandingan bahawa apabila Google, Tikktok dan Facebook berjumpa dengan kita, adakah ia bermakna rakyat malaysia sudah tiada kebebasan bersuara? Tidak,”katanya
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata tujuan perjumpaan itu adalah bagi mewujudkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah dan bukan bersifat politik dan menganggu kebebasan bersuara.
Katanya pertemuan itu juga bukan untuk menyekat kebebasan suara.
“Tidak semua arahan dari KKD mereka ikuti kerana mereka (penyedia pelayar) masih perlu merujuk garis panduan. Jadi itu adalah satu proses sangat biasa.
“Sebab itu perjumpaan amat penting, tetapi Telegram langsung tidak mahu berjumpa. Telegram hanya cakap bahwa mereka tidak mahu ada bentuk penapisan berkaitan politik. Saya rasa itu tidak betul kerana apabila kita adakan pertemuan dengan Google, Facebook dan Tiktok, kita masih ada hubungan yang profesional.
“Adakah perjumpaan diadakan dengan kami, ia bermakna mereka (penyedia platfrom) jadi hamba kepada kerajaan? Tidak, kerana mereka ada garis panduan komuniti tetapi untuk aktiviti yang memang salah dari segi undang-undang seperti online scam, tindakan perlu diambil dan perlu kerjasama semua pihak,” katanya.
Pada 26 Mei lalu, Menteri KKD, Fahmi Fadzil memaklumkan Telegram dikesan masih gagal bertemu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara ini walaupun sudah beberapa kali dipanggil oleh kementeriannya pada tahun ini.
Dua hari selepas itu, Telegram menyatakan keengganan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi pemesejan itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.
Sumber BH Online
Imedikel TV






