BAITULMAQDIS: Israel mendakwa sudah menang dalam peperangan dengan Iran, namun tidak memberikan petunjuk mengenai tempoh konflik itu akan berakhir.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, bercakap pada sidang media semalam bersama Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata operasi ketenteraan di Iran bagaimanapun akan diteruskan hingga semua objektif tercapai.
“Kita sudah menang,” katanya sambil menyifatkan Iran dilemahkan secara ketara, berbanding sebelum perang bermula pada 28 Februari lalu, menerusi serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Dalam pada itu, Saar berkata, Israel berusaha menghapuskan sebaran ancaman semasa, namun tidak menjelaskan bagaimana kerajaan akan menentukan matlamat itu sudah dicapai.
“Perkara ini jelas bagi kita dan negara jiran, namun misi ini akan diteruskan sehingga ia disempurnakan.
“Kita perlu bersabar,” katanya mengulas mengenai peperangan yag memasuki hari ke-18 dan mengorbankan lebih 2,000 nyawa, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, selain di Israel, Iraq serta rantau Teluk.
Saar berkata, matlamat utama operasi itu ialah melemahkan keupayaan Tehran melancarkan serangan ke atas Israel bagi jangka panjang secara ketara serta mewujudkan pergolakan dalaman yang berpotensi membolehkan rakyat Iran menggulingkan pemerintah sedia ada.
Saar juga mengakui rejim di Iran hanya boleh digulingkan rakyatnya dengan pengakuan itu secara tidak langsung menunjukkan kebangkitan terbabit dilihat tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Tentera Israel (IDF) pula berkata, pihaknya sudah melaksanakan serangan udara terhadap pelancar peluru berpandu balistik Iran serta kemudahan penyimpanan dan pengeluaran.
IDF turut mengebom lokasi dikatakan mempunyai kaitan dengan program nuklear Iran, selain melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Tehran.
Meskipun Saar mendakwa sudah menang, seiring kenyataan Presiden AS, Donald Trump, pada 11 Mac lalu, Iran masih melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Israel, semalam.
Perkembangan itu sekali gus menunjukkan keupayaan berterusan Tehran melaksanakan serangan jarak jauh selepas peperangan berlarutan lebih dua minggu.
Sementara itu, pentadbiran Trump memberikan isyarat bercampur mengenai tempoh konflik itu mungkin berakhir dengan ada kalanya membayangkan ia akan tamat dalam jangka terdekat, namun pada masa sama menunjukkan kempen ketenteraan sedang berlangsung.
Pegawai Israel pula tidak memberikan jangka masa, manakala Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan mereka mempunyai pelan peperangan untuk tempoh tiga minggu akan datang dan seterusnya.
Dalam pada itu, Tsahkna memberi isyarat negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) terbuka untuk menyertai misi diterajui AS bagi membuka semula laluan perairan strategik itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, Washington perlu terlebih dahulu memperincikan objektif serta bentuk sokongan diperlukan dan apa matlamat yang mahu AS capai. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






