Home Hiburan MAMAT EXISTS GEMBIRA BERAYA BERSAMA TIGA ANAK TAHUN INI

MAMAT EXISTS GEMBIRA BERAYA BERSAMA TIGA ANAK TAHUN INI

121
0

KUALA LUMPUR: Selepas melalui pelbagai episod getir dalam kehidupan, penyanyi, Mamat Exists mengakui Syawal tahun ini membawa makna yang cukup mendalam apabila dapat kembali meraikannya bersama tiga anak tercinta.

Memetik laporan Berita Harian, bagi Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 49, detik itu seakan menghadiahkan sinar baharu dalam hidupnya selepas sekian lama bergelut dengan episod hitam penagihan dadah yang pernah menjarakkan dirinya daripada keluarga.

Menurutnya, kali terakhir dia menikmati kemeriahan Aidilfitri bersama anak adalah ketika mereka masih kecil.

Mamat berkata, pada Aidilfitri tahun ini dia merancang pulang beraya ke Johor Bahru bersama anak selepas dijemput mereka di Bentong, Pahang.

“Tahun ini saya akan pulang beraya ke Johor Bahru bersama anak-anak. Mereka akan menjemput saya di Bentong, kemudian kami bergerak ke Johor untuk beraya dengan kakak sulung serta adik-beradik saya yang lain.

“Saya juga nak bawa mereka menziarah pusara arwah ibu bapa dan abang saya. Selepas itu kami akan ke Negeri Sembilan untuk menziarah moyang mereka dan seterusnya ke rumah ibu mentua di Kuang, Selangor.

“Saya tak dapat gambarkan betapa gembiranya dapat beraya bersama anak tahun ini. Tahun lalu saya beraya bersama rakan di Bentong sahaja,” katanya ketika ditemui pada Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 di Saloma Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Biarpun mengakui pernah melukakan hati anak akibat terjebak penagihan dadah, Mamat bersyukur kerana mereka tidak pernah berhenti memberi peluang untuk dia berubah.

Katanya, tiga zuriatnya sentiasa menyokong usaha untuk terus kekal pulih.

“Apa yang saya tahu, anak memang mementingkan kesembuhan saya. Walaupun saya pernah melakukan kekhilafan, mereka tetap menerima saya.

“Malah hubungan kami semakin akrab dan mereka juga manja dengan saya. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami berhubung, bertanya khabar antara satu sama lain.

“Dulu masa saya terjebak dengan penagihan, saya langsung tak fikir pasal raya atau anak. Saya hanya fikir keseronokan sendiri, sedangkan hakikatnya keseronokan itu hanya sementara,” kata vokalis kumpulan Exists itu.

Pada masa sama, penyanyi itu mengakui jauh di sudut hati masih terselit rasa bersalah kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik suatu ketika dahulu.

“Mestilah ada rasa serba salah dengan apa yang berlaku. Sesekali saya ada juga meminta maaf kepada mereka atas kekhilafan saya.

“Tapi saya sangat terharu sebab bukan mudah untuk anak menerima semua ini,” katanya.

Tambah Mamat, anak mungkin tidak meluahkan perasaan mereka dengan kata-kata, namun sokongan yang diberikan sudah cukup menyentuh hatinya.

“Kalau saya buat persembahan atau konsert, mereka akan datang menyokong. Itu sudah cukup buat saya rasa dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Mamat berkata, dia tidak berani membuat janji besar mengenai perubahan dirinya, sebaliknya hanya berusaha menjaga diri sebaik mungkin.

“Saya tak berani berjanji lebih-lebih. Tak semestinya bila kita berubah, kita takkan jatuh semula jika kita tak jaga diri.

“Cuma saya sentiasa berdoa supaya tidak tergolek semula, sebab saya tak mahu mengecewakan anak lagi,” katanya.

Mamat mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Marshila Mustapa Kamal pada 2001 iaitu Aleeya Mysara, 24; Mohd Eiki Daniel, 22; dan Dylea Mysara, 19. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here