Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Dua maut manakala lima lagi terselamat dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bandar Baru Tanah, Jalan Machang–Tanah Merah, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba (PBK) II Hamdan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 4.35 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah BMW 5 Series.
“Hasil pemeriksaan mendapati kemalangan itu membabitkan tujuh mangsa yang sudah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seorang lelaki dilaporkan cedera manakala empat mangsa lain termasuk seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memastikan keadaan di lokasi selamat selain menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang bermula pada jam 4.40 pagi itu berjaya dikawal pada jam 5.20 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya lapan minit kemudian.
IMedikel TV






