BEIJING: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan terpaksa dikejarkan ke hospital dengan tubuhnya dipenuhi kesan tusukan jarum selepas didakwa disiksa ratusan kali oleh ibunya di Yunnan, China, lapor South China Morning Post.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, video rawatan bayi itu, yang dimuat naik oleh seorang doktor dikenali sebagai ‘Pak Sui Wenyuan’, menjadi tular dan insiden berkenaan mencetuskan kemarahan dalam talian.
Difahamkan, Sui adalah doktor bertugas di Pusat Tulang Belakang Hospital Xinhua yang bersekutu dengan Sekolah Perubatan Universiti Shanghai Jiao Tong.
Menurut Sui, bayi itu dimasukkan ke Jabatan Pediatrik Hospital Rakyat Daerah Mojiang pada 16 Disember tahun lalu kerana demam dan sawan.
Doktor itu mendapati apabila bayi itu berkelakuan buruk atau demam, ibunya, Dao, akan menusuknya dengan jarum untuk mengambil darah sebagai hukuman atau rawatan tradisional.
Sui menganggarkan, bayi itu mungkin ditusuk antara 500 hingga 600 kali.
Dalam kejadian terbaharu, Dao memasukkan jarum, biasanya digunakan untuk menjahit tapak kasut, ke leher bayi itu, namun jarum berkenaan patah dan hujungnya tersangkut di tulang belakang serviks, sekali gus bayi itu dilaporkan memerlukan pembedahan.
Susulan kejadian, Sui berkata, pembedahan itu mencabar kerana ibu bapa tidak pasti bentuk sebenar jarum dan sama ada ia mempunyai duri serta mengeluarkannya secara salah boleh menyebabkan kecederaan serius kepada bayi berkenaan.
Bagaimanapun, selepas ujian lengkap, pembedahan berjaya dilakukan pada hari sama dan suhu bayi yang tinggi menurun tiga hingga empat hari kemudian sebelum dipindahkan keluar dari unit rawatan rapi.
Sementara itu, satu pasukan penyiasatan bersama, yang terdiri daripada Biro Keselamatan Awam, Suruhanjaya Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Sivil dan Persekutuan Wanita, mengeluarkan kenyataan rasmi.
Mereka mendapati, kesan tusukan jarum pada badan kanak-kanak itu dilakukan oleh ibunya, yang menggunakan kaedah tradisional ‘penusukan’ dalam usaha merawatnya sendiri.
Menurut media sama, Dao adalah seorang berpendidikan rendah, tidak mempunyai pengetahuan saintifik dan menunjukkan tanda keresahan emosi.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan dalam talian dengan netizen mengecam perlakuan kejam itu dan memohon supaya bayi tidak lagi dijaga oleh ibu bapanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






