JAKARTA: Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer dipecat dan didakwa memeras ugut selepas agensi antirasuah mendakwa beliau mengaut keuntungan daripada bayaran haram pemprosesan permit keselamatan.
Meemtik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Ebenezer, memakai vest jingga, menafikan tuduhan dan memohon maaf kepada Presiden, keluarganya serta rakyat, tanpa menjelaskan sebabnya.
Siasatan ini merupakan yang pertama melibatkan anggota kabinet Presiden Prabowo Subianto, yang baru dilantik Oktober lalu dan berkempen menentang rasuah.
Ebenezer ditangkap bersama 10 individu lain yang disiasat berhubung kes terbabit.
Menurut Ketua Suruhanjaya Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK), Setyo Budiyanto, tangkapan termasuk pegawai kementerian sumber manusia dan dua pekerja sebuah syarikat penyedia latihan.
Menurut Budiyanto, Ebenezer dan defendan lain dituduh mengenakan caj 6 juta rupiah (RM1,533) untuk memproses permit keselamatan yang diperlukan oleh pekerja pembinaan, perlombongan atau pembuatan untuk bekerja, jauh lebih tinggi daripada kadar rasmi 250,000 rupiah (RM56.35) sejak 2019.
Katanya, hasil daripada bayaran tambahan haram itu diagihkan kepada pegawai kementerian.
“Jika para pekerja tidak membayar sebanyak yang diminta, para pegawai akan memeras ugut mereka dengan melengah-lengahkan atau menolak memproses permohonan sijil keselamatan,” katanya.
Tambah Budiyanto, semasa operasi perangkap oleh penyiasat minggu ini, lima belas kereta, tujuh motosikal dan wang tunai bernilai AS\$12,600 (RM53,040) dirampas.
Reuters tidak dapat menghubungi peguamnya.
Tuduhan pemerasan membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup di Indonesia.
Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi, berkata Prabowo telah menandatangani dekri memecat Ebenezer daripada jawatan menteri.
“Kami akan membiarkan proses undang-undang berjalan dan kami berharap ini menjadi pengajaran buat kita semua, khususnya anggota kabinet dan semua pegawai kerajaan… untuk bekerja keras membanteras rasuah,” kata Hadi dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan semalam.
Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia masih belum memberi sebarang maklum balas. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






