LONDON: Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo mengakui hubungannya dengan pemilik kelab yang lantang bersuara, Evangelos Marinakis semakin merosot di tengah-tengah spekulasi jurulatih dari Portugal itu mungkin akan dipecat.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Nuno menandatangani kontrak baharu pada Jun lalu selepas berjaya mengemudi Forest ke pentas Eropah buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun dengan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketujuh musim lalu.
Namun beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti perpindahan kelab menjelang musim baharu.
Sejak itu, Forest berbelanja lebih £100 juta (RM571 juta) untuk membawa masuk James McAtee, Omari Hutchinson, Arnaud Kalimuendo dan Douglas Luiz.
Bagaimanapun, Nuno secara mengejut bersikap jujur mengenai hubungannya dengan hartawan perkapalan Greece itu.
“Saya sentiasa ada hubungan baik dengan pemilik, musim lalu kami amat, amat rapat,” kata Nuno semalam. “Musim ini, tidak begitu. Tidak, ia tidak baik.
“Saya tidak tahu sebenarnya, tetapi saya bercakap jujur dengan anda. Saya tidak boleh katakan ia sama, kerana memang tidak sama. Puncanya, saya tidak tahu.
“Hakikatnya, ia bukan seperti dulu. Dahulu hubungan kami baik, penuh hormat, berasaskan kepercayaan dan berkongsi pandangan. Sekarang tidak begitu baik.”
Kedua-duanya pernah terbabit dalam pertengkaran di tepi padang hujung musim lalu selepas penyerang Forest, Taiwo Awoniyi terus beraksi menentang Leicester walaupun mengalami kecederaan abdomen yang akhirnya memerlukan pembedahan segera.
“Kalau ada asap, biasanya ada api, jadi saya tahu bagaimana perkara ini berfungsi. Tetapi saya di sini untuk buat kerja saya,” kata bekas pengurus Tottenham dan Wolves itu.
“Saya faham, sebab saya risau. Saya orang pertama yang risau. Saya orang pertama yang rasa bimbang.” – AFP, BH Online –
IMedikel TV






