Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Tanah Merah: Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Tanpa Izin (PATI) di sini pada 6 Julai lalu selepas didapati bersalah melindungi PATI di premis perniagaan mereka.
Pendakwaan terhadap kedua-dua lelaki itu dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Pengarah JIM Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua tertuduh berumur antara 19 hingga 43 tahun didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan imigran haram memasuki dan tinggal di premis milik mereka.
“Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai perabot di Pasir Puteh dan sebuah kedai besi buruk di Kota Bharu.
“Semasa operasi dijalankan, seorang warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh ditemui berada di dalam premis masing-masing,”katanya dalam kenyataan.
Hasil siasatan mendapati warga Pakistan tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga Bangladesh pula di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima bulan atau denda RM5,000. Namun, kedua-dua tertuduh membayar denda.
Beliau menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara atau bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.
IMedikel TV






