Home Hiburan ‘ALI’ RISAU HILANG SUARA

‘ALI’ RISAU HILANG SUARA

282
0

FAKTOR utama yang mendorong Ida Rahayu Yusoff terus kekal sebagai pelakon suara watak utama dalam animasi popular Ejen Ali bukan semata-mata soal pulangan wang ringgit.

Sebaliknya, minat mendalam terhadap bidang ini dan kasihnya terhadap watak Ali menjadikan pengalaman itu begitu bermakna buat dirinya.

Memetik laporan Harian Metro setiap kali membawakan suara karakter kanak-kanak luar biasa itu, ibu dua cahaya mata ini melihatnya sebagai satu tanggungjawab untuk menyampaikan nilai murni kepada generasi muda.

Sebagai individu yang terbabit sejak awal penerbitan pada 2016, Ida, 43, tidak pernah meletakkan soal bayaran sebagai matlamat utama walaupun menyedari pendapatan sebagai pelakon suara jauh lebih rendah berbanding pelakon filem atau drama.

“Alhamdulillah, tapi tidak setinggi pelakon. Apa yang seronok bila buat ini adalah ketika kita lihat bagaimana ia memberi kesan kepada penonton terutama kanak-kanak.

“Saya cuba terapkan nilai baik, macam watak Ali dalam cerita ini adalah seorang budak yang tak tahu apa-apa sehingga mampu menjadi ejen hebat. Jadi, saya berharap ini mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak di luar sana,” katanya pada malam gala filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) di IOI City Mall, baru-baru ini.

Menurut Ida, dia tidak menyangka animasi tempatan itu akan berkembang menjadi sebuah fenomena besar hingga mencetuskan tiga musim siri dan dua filem dalam tempoh kurang daripada sedekad.

“Sebenarnya saya tak sangka Ejen Ali akan jadi sebesar ini. Apa yang kami buat adalah hasilkan sesuatu yang kami sendiri mahu lihat. Jadi, bila buat begitu dengan tak mengharapkan apa-apa, kami lebih seronok untuk sampaikan,” katanya.

Ida turut mengakui ada ketikanya timbul rasa bimbang sekiranya kehilangan suara, terutama apabila jatuh sakit, memandangkan kerja sebagai pelakon suara kini menjadi sumber pendapatannya.

“Memang risau kalau suara Ejen Ali ini hilang. Antara cabarannya bila saya sakit. Ada satu masa, saya pernah berjangkit dengan rakan sekerja dan ketika itu suara tak ada.

“Jadi, untuk apa-apa rakaman ketika itu akan dihentikan dan saya tak dibenarkan untuk buat rakaman demi menjaga suara. Kalau tak nanti akan cedera di bahagian suara. Pernah dalam sebulan saya tak buat rakaman suara,” katanya.

Mengenai sambutan peminat, Ida menzahirkan rasa syukur apabila watak animasi ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah turut mendapat tempat di hati penonton Indonesia.

Malah katanya, dia tidak menjangka ramai yang mengenali pelakon di sebalik karakter animasi itu.

“Cara peminat di Malaysia hargai watak ini, ada masa mereka buat ‘fans art’, malah ada juga buat teori masing-masing (mengenai jalan cerita Ejen Ali). Jadi, saya rasa terhubung dengan peminat.

“Kalau peminat di Indonesia pula, saya tak sangka betapa besarnya impak Ejen Ali ketika kami ke sana untuk tayangan filem pertama. Bila kami sampai sahaja, semua bersorak dan menjerit macam kami ini artis K-Pop. Mereka mengenali saya, malah kanak-kanak di sana juga tahu nama setiap pembawa suara itu. Ada yang tahu nama penuh saya lagi,” katanya.

EATM2 yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak Khamis lalu, diterbitkan oleh Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions menjanjikan pengalaman lebih mendebarkan menerusi aksi dan jalan cerita yang lebih segar. – HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here