BEIJING: Peraturan pendaftaran perkahwinan di China dipinda dengan menawarkan kelonggaran yang lebih besar untuk pasangan ingin berkahwin, lapor agensi berita Xinhua.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, peraturan yang berkuat kuasa kelmarin itu dilaksana bagi menggalakkan perkahwinan dalam kalangan golongan muda di China, yang kini semakin cenderung mementingkan kerjaya berbanding keluarga.
Peraturan yang dikemas kini itu membatalkan keperluan untuk mengisi buku pendaftaran isi rumah yang sekian lama diperlukan untuk permohonan perkahwinan.
Pasangan yang ingin berkahwin hanya perlu mengemukakan kad pengenalan dan menandatangani deklarasi mengesahkan mereka belum berkahwin serta tidak mempunyai pertalian darah dalam tempoh tiga generasi.
Selain itu, di bawah peraturan baharu, pasangan boleh mendaftarkan perkahwinan mereka di mana-mana pusat pendaftaran yang sah di seluruh negara, tidak kira di mana lokasi pendaftaran isi rumah masing-masing.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Awam, peraturan baharu itu turut terpakai kepada pasangan di mana seorang daripada mereka adalah penduduk Tanah Besar dan seorang lagi warga asing, sama ada penduduk Hong Kong, Macau, Taiwan atau masyarakat China di luar negara.
Mereka kini boleh melaksanakan urusan termasuk berkahwin, bercerai, atau memohon pengeluaran semula sijil perkahwinan di mana-mana pejabat pendaftaran yang dibenarkan, tidak lagi terhad kepada lokasi pendaftaran isi rumah pasangan.
Langkah penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada usaha China yang lebih meluas untuk menyelaraskan perkhidmatan awam dan meringankan beban rakyat, terutama peningkatan bilangan penduduk yang tinggal dan bekerja jauh dari tempat pendaftaran isi rumah mereka.
Menurut data rasmi, China merekodkan 1.81 juta pendaftaran perkahwinan pada suku pertama tahun ini, menunjukkan penurunan lapan peratus bagi tempoh sama pada 2024.
Selepas sembilan tahun berturut-turut merekodkan kemerosotan, angka pendaftaran perkahwinan China menyaksikan lonjakan dalam tempoh singkat pada 2023.
Bagaimanapun, pada 2024, berlaku semula trend penurunan dengan pendaftaran perkahwinan jatuh ke paras terendah sejak 1980. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






