LONDON: Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem berkata, beliau sedang mempertimbangkan penambahbaikan terhadap peraturan yang mengenakan hukuman berat ke atas salah laku, termasuk penggunaan kata-kata kesat dalam Formula Satu (F1) dan siri perlumbaan lain.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pelumba dalam rali dan F1 berselisih pendapat dengan tokoh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu yang akan bertanding semula dalam pemilihan akhir tahun ini, berhubung tindakan tegas terhadap penggunaan bahasa kasar semasa acara perlumbaan.
Pemandu rali kejohanan dunia, yang secara terbuka mengecam denda itu mencapai satu kemajuan minggu lalu apabila mereka mencapai kompromi untuk membahagikan acara kepada zon terkawal dan zon tidak terkawal.
“Susulan maklum balas membina daripada pemandu dalam tujuh kejohanan dunia FIA, saya sedang mempertimbangkan untu k membuat penambahbaikan terhadap Lampiran B,” kata Ben Sulayem di akaun Instagram (IG) beliau.
“Sebagai bekas pemandu rali, saya lebih memahami tekanan yang mereka hadapi berbanding kebanyakan orang lain.”
Ben Sulayem berkata Lampiran B, yang dipinda pada Januari dengan hukuman lebih berat adalah sebahagian penting dalam Kod Sukan Antarabangsa, tetapi manusia yang menggubal peraturan dan manusia boleh memperbaiki peraturan.
Butiran lanjut dijangka diumumkan lewat minggu ini, bersempena perlumbaan F1 di Miami.
Lampiran B merangkumi garis panduan hukuman oleh steward, yang menetapkan bentuk hukuman atas salah laku termasuk kata-kata, perbuatan atau tulisan yang mungkin mencemarkan nama baik FIA atau sukan permotoran secara umum.
Kesalahan pertama dalam F1 boleh didenda AS$46,000 (RM119,341), meningkat kepada AS$80,000 (RM346,680) bagi kesalahan kedua dan AS$120,000 (RM520,020) dengan penggantungan sebulan serta pemotongan mata kejuaraan bagi kesalahan ketiga.
Steward masih mempunyai budi bicara untuk mengambil kira sebarang keadaan yang meringankan dan/atau memburukkan, serta sifat dan lokasi acara, bagi menyesuaikan hukuman mengikut situasi tertentu.
Perkara itu dilihat dalam F1 apabila pemandu Williams, Carlos Sainz, terlepas daripada dikenakan hukuman atas satu ungkapan yang digunakan dalam sidang media bulan ini.
Juara dunia F1 empat kali berturut-turut, Max Verstappen, yang sebelum ini dikenakan kerja khidmat masyarakat kerana mengeluarkan kata-kata kesat, menahan diri daripada memberi komen terhadap apa yang dirasakannya sebagai hukuman tidak adil semasa Grand Prix (GP) Arab Saudi, bulan ini.
“Saya tak boleh kongsi pendapat tentang perkara itu kerana saya mungkin akan dikenakan hukuman,” katanya kepada wartawan. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






