BANGKOK: Penyakit jarang ditemui yang berpotensi membawa maut yang disebarkan oleh lalat pasir sudah meragut dua nyawa di Thailand tahun ini.
The Thaiger melaporkan, situasi itu mendorong pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai dan pelancong supaya menggunakan semburan nyamuk untuk menghalau serangga itu dan mengambil langkah lebih berwaspada.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Jabatan Kawalan Penyakit Thailand berkata, lebih 40 kes Leishmaniasis iaitu penyakit tropika yang disebarkan oleh lalat pasir direkodkan setakat ini, dengan dua kematian masing-masing di Bangkok dan Songkhla.
Pakar perubatan kanan yang juga jurucakap kementerian, Dr Jurai Wongsawat, baru-baru ini memaklumkan pesakit terbaru ialah seorang pelancong asing yang tiba dari Timur Tengah.
Katanya, walaupun jarang berlaku, Leishmaniasis sudah wujud di Thailand sejak 1996 dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.
“Leishmaniasis adalah penyakit zoonotik yang ditularkan menerusi gigitan lalat pasir, bukan melalui sentuhan kulit.
“Ia sama seperti demam denggi dari segi langkah pencegahan, iaitu melindungi diri daripada gigitan serangga,” katanya.
Dr Jurai berkata, penyakit itu hadir dalam dua bentuk iaitu ringan dan teruk.
“Bagi kes ringan, pesakit akan mengalami bintik kecil yang timbul pada kulit atau muka dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan.
“Namun bagi jangkitan serius, parasit boleh menyerang organ dalaman sehingga menyebabkan demam berpanjangan, kulit menjadi pucat, limpa membesar dan akhirnya boleh membawa maut.
“Tempoh pengeraman parasit ini sukar dijangka. Jika ada tanda jangkitan, orang ramai perlu segera menjalani ujian dan mendapatkan rawatan,” katanya.
Dr Jurai turut menegaskan walaupun demam denggi sering menjadi tumpuan, Leishmaniasis adalah ancaman penyakit bawaan serangga yang tidak boleh dipandang ringan.
“Melindungi diri daripada gigitan serangga amat penting, tidak kira betapa jarangnya sesuatu penyakit itu,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






