WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam memaklumkan kapal yang melalui Selat Hormuz di bawah perjanjian damai Iran yang ditandatangani Presiden Donald Trump akan bergerak secara bebas tol.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, ia juga menegaskan Tehran perlu memenuhi semua komitmennya sebelum menerima sebarang manfaat ekonomi.
Pegawai kanan pentadbiran Trump ketika dihubungi wartawan berkata, manfaat itu termasuk kemungkinan dana pembinaan semula yang bernilai AS$300 bilion untuk negara dilanda perang itu, tetapi pengeluaran dana akan “terikat kepada prestasi”.
Trump, Naib Presiden AS JD Vance dan Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf menandatangani secara elektronik apa yang dipanggil memorandum persefahaman (MoU) pada Ahad, menurut kenyataan pegawai itu.
“Presiden mahu menandatanganinya secara peribadi kerana beliau mahu menunjukkan dedikasinya terhadap proses itu,” kata salah seorang pegawai AS yang enggan namanya disiarkan.
Namun, Vance mengakui bahawa perjanjian yang hanya menggariskan kerangka asas itu belum menyelesaikan isu-isu paling sensitif, terutama program nuklear Iran, yang akan dibincangkan pada peringkat seterusnya.
“MoU itu kira-kira satu setengah halaman, jadi ia adalah dokumen yang sangat umum,” kata Vance kepada CNN.
Vance akan mengetuai rundingan teknikal minggu ini dan menghadiri majlis menandatangani perjanjian fizikal yang dijangka berlangsung di Geneva, Switzerland.
Menantu Trump iaitu Jared Kushner dan Utusan Khas Timur Tengah, Steve Witkoff juga akan hadir.
Trump yang menghadiri sidang kemuncak G7 di Perancis memberitahu teks itu mungkin akan dikeluarkan selepas Jumaat, namun pegawai AS berkata ia akan dikeluarkan dalam tempoh 24-48 jam akan datang.
Pemeteraian itu memulakan tempoh 60 hari di mana Iran dan Amerika Syarikat akan cuba mencapai perjanjian damai berskala penuh.
“Kami mahu menjadikan perbincangan berhubung program nuklear sebagai agenda utama,” kata seorang pegawai AS yang dihubungi, namun kesesakan di Selat Hormuz adalah keutamaan segera yang perlu diuruskan susulan kesan ekonomi global daripada lonjakan harga minyak.
Vance memberitahu CNBC terdapat persefahaman dengan Iran bahawa selat itu akan dibuka semula secara bebas tol untuk jangka masa panjang dan ia perkara utama yang difikirkan dalam rundingan teknikal.
Trump sendiri berkata selat strategik itu akan dibuka sepenuhnya mulai Jumaat, namun menambah bahawa operasi “memburu” masih dijalankan bagi memastikan kawasan tersebut bebas daripada ancaman.
“Trafik perkapalan sepatutnya kembali ke tahap pra-perang dalam beberapa minggu akan datang, tetapi telah pun terdapat peningkatan trafik yang ketara ketika ini,” kata pegawai AS.
Kementerian Luar Iran pada Isnin berkata bahawa perjanjian itu akan membenarkannya mengenakan yuran perkhidmatan maritim ke atas kapal yang melintasi Selat Hormuz dan bukan tol. – AFP, Hmetro Online –
IMedikel TV






