BAITULMAQDIS: Ketua Staf tentera pendudukan Israel, Herzi Halevy mengakui mereka kehilangan ramai anggota di Semenanjung Gaza, namun menegaskan akan terus meningkatkan serangan bagi memusnahkan kekuatan pejuang Palestin.
Halevy mendakwa tentera Israel sudah hampir ke peringkat yang boleh dikatakan berjaya menewaskan dan membongkar batalion Hamas di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Beliau berkata, kekalahan Hamas bukan bermakna pergerakan itu tidak lagi wujud, sebaliknya tidak lagi mampu beroperasi sebagai unit tempur dan menyerang Israel.
Bagaimanapun, akhbar Yedioth Ahronoth memetik pemimpin parti Yisrael Beytenu, Avigdor Lieberman, sebagai berkata pengurusan perang oleh Menteri Pertahanan Yoav Galant disifatkan gagal dan beliau memikul tanggungjawab secara langsung selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Lieberman berkata Israel tewas dalam perang di Semenanjung Gaza, dengan mengatakan kapasiti pencegahannya menurun kepada sifar.
Beliau menegaskan jika tiada rancangan jelas untuk perang, kekecewaan wujud dalam kalangan tentera dan pegawai di Rafah, dan kerajaan tidak dapat membuat keputusan, dan tidak dapat mencapai kemenangan ke atas Hamas di selatan dan Hizbullah Lubnan di utara.
Portal berita Al-Quds melaporkan perang Israel, yang berterusan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, telah mengakibatkan lebih 124,000 orang Palestin syahid dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 10,000 orang hilang, di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang telah meragut nyawa puluhan kanak-kanak.
Israel meneruskan perangnya walaupun Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi supaya perang dihentikan serta-merta, dan perintah daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan ke atas Rafah, mengambil langkah-langkah untuk mencegah genosid dan memperbaiki keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






