GUA MUSANG: Kemahiran wanita dalam seni gubahan tuala mendapat tarikan daripada orang ramai di Karnival Kita MADANI peringkat Negeri Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata masing-masing mempunyai kreativiti tersendiri dalam gubahan tersebut.
“Ini ada satu kreativiti yang ditonjolkan oleh para ibu melalui gubahan tuala dengan pelbagai motif yang menarik.
“Ada motif yang berunsurkan haiwan, makanan, buah-buahan serta binaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Pertandingan Gubahan Tuala di Dataran Kesedar, di sini, hari ini.
Mohd Syahbuddin berkata, pertandingan gubahan tersebut perlu bersesuaian dengan tema MADANI.
“Kita di kawasan Gua Musang ini semestinya di kawasan luar bandar mengharapkan maklumat yang lebih kreatif, tepat dan telus,” katanya.
Sementara itu, seorang Penyelia Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) parlimen Gua Musang, Noraini Mohd Yazid berkata seramai 25 para wanita yang terlibat dengan pertandingan tersebut.
“Saya lihat dikalangan mereka ini bijak menggunakan warna yang sesuai dan dapat menghasilkan gubahan yang cantik.
“Apa yang menjadi kebanggaan saya pada mereka ialah sebaik sahaja saya membuka peluang ini, ramai yang berminat untuk menyertainya,” katanya.
Noraini berkata, setiap peserta diberikan sehelai tuala untuk digubah selama satu jam 30 minit.
Pemenang pertandingan gubahan tuala, Saripah Mat, 48 dari Kampung Lembaga berkata, dia memilih untuk membuat gubahan bermotifkan buah-buahan kerana berketepatan dengan tema MADANI.
“Saya tidak menyangka saya akan menang kerana sertai pertandingan ini sekadar suka-suka sahaja,” katanya.
Saripah sebelum ini sudah menceburi bidang gubahan selama lebih 10 tahun.