Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Enam tukang cuci termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) menang saman terhadap sebuah syarikat pembersihan yang culas membayar gaji minimum dan diarah menjelaskan baki RM28,500 kepada kesemua bekas pekerjanya itu, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Keputusan diputuskan Hakim, Shamsul Bahrin Abdul Manaf selepas menolak rayuan syarikat pembersihan, Monson Tropical Trading selaku perayu kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 RM1,500 ketika enam responden berkenaan ditugaskan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) antara Mei 2022 hingga Julai 2023.
Hujahan perayu mengatakan bahawa SUK sepatutnya menanggung bayaran gaji kerana syarikat itu hanya bertindak sebagai ejen, namun ia ditolak oleh Shamsul Bahrin dalam penghakimannya.
Beliau menegaskan bahawa pihak yang melantik dan menggajikan pekerja ialah syarikat perayu sendiri, maka tanggungjawab mematuhi undang-undang buruh terletak sepenuhnya kepada mereka.
Mahkamah juga menegaskan bahawa surat persetujuan yang didakwa ditandatangani oleh pekerja untuk melepaskan tuntutan gaji minimum adalah tidak sah kerana bercanggah dengan peruntukan undang-undang.
Perayu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Pejabat Tenaga Kerja berkenaan kemudian merayu kepada Mahkamah Tinggi yang membawa kepada keputusan terbaharu ini.
Pada asalnya, semua bekas pekerja tersebut adalah seramai 15 individu yang membuat tuntutan Kes Buruh di Pejabat Tenaga Kerja Kota
Bharu pada 15 Mei 2024.
Namun, hanya enam bekas pekerja sahaja yang tampil memberi keterangan dan seterusnya menang tuntutan sebanyak RM28,500.
Kesemua enam responden kes itu ialah Zuhaida Daud, Mohamad Safuan Zakaria (OKU), Sharifah Mohammad, Mahani Daud, Mohd Hafizi Mohd Arshad, dan Muhammad Nasharudin Samsudin.
Responden-responden itu diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan manakala perayu, diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin.
IMedikel TV






