Home Luar Negara 1 DALAM 3 RAKYAT KOREA SELATAN TINGGAL SENDIRIAN DALAM ERA ‘MASYARAKAT SUPER...

1 DALAM 3 RAKYAT KOREA SELATAN TINGGAL SENDIRIAN DALAM ERA ‘MASYARAKAT SUPER TUA’

186
0

SEOUL: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian struktur demografi Korea Selatan berubah pada kadar paling pantas setakat ini dengan kumpulan isi rumah bujang melepasi 36 peratus buat pertama kali tahun lalu.

Pada masa sama, penduduk warga emas melangkaui paras 10 juta, menurut data baharu kerajaan, lapor The Korea Herald.

Menurut buku tahunan statistik keselamatan sosial Kementerian Kesihatan dan Kebajikan tahun lalu, bilangan isi rumah bujang mencecah rekod hampir 8.05 juta.

Angka itu menunjukkan peningkatan ketara daripada 5.2 juta isi rumah pada 2015 kepada 6.64 juta pada 2020, pertama kali melepasi paras 30 peratus.

Jika kadar semasa berterusan, kementerian mengunjurkan isi rumah bujang akan mencecah 8.55 juta pada 2027, 9.71 juta pada 2037 dan hampir 10 juta menjelang 2042, sekali gus mengukuhkan model itu sebagai susunan kediaman dominan negara berkenaan.

Laporan itu turut mendedahkan perkembangan pesat proses penuaan penduduk.

Populasi berusia 65 tahun dan ke atas mencecah 10 juta buat pertama kali tahun lalu, mewakili 20.1 peratus daripada populasi negara itu, secara rasmi meletakkan Korea Selatan sebagai sebuah ‘masyarakat super tua’.

Menurut pegawai kementerian itu, perubahan demografi ini berlaku lebih pantas di Korea berbanding hampir semua ekonomi maju lain.

Penurunan berterusan dalam jumlah kanak-kanak turut ketara membabitkan fasiliti penjagaan.

Jumlah pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara merosot daripada 43,770 pada 2013 kepada 30,923 pada 2022, 28,954 (2023) dan 27,387 (2024), sekali gus terus merekodkan penurunan tahunan yang ketara.

Bagaimanapun, perbelanjaan berkaitan pendidikan terus meningkat.

Penyertaan dalam pendidikan swasta mencecah paras tertinggi iaitu 80 peratus tahun lalu, meningkat daripada 78.5 peratus pada 2022.

Purata perbelanjaan bulanan bagi pendidikan swasta setiap pelajar ialah 474,000 won (US$322) dengan pelajar sekolah menengah atas membelanjakan 520,000 won, pelajar sekolah menengah rendah, 490,000 won dan pelajar sekolah rendah, 440,000 won.

Laporan itu turut mendapati rakyat Korea melawat doktor jauh lebih kerap berbanding penduduk di negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang lain.

Pada 2023, rakyat Korea menerima rawatan perubatan secara purata 18 kali setahun, jauh melebihi purata OECD, sebanyak 6.7 lawatan.

Kementerian Kebajikan menyusun buku tahunan itu setiap tahun di bawah Akta Rangka Kerja mengenai Keselamatan Sosial, dengan mengambil sumber daripada statistik negara dan pelbagai tinjauan lapangan.

Menurut pegawainya, penemuan terbabit menekankan keperluan mendesak untuk menyesuaikan dasar sosial dengan perubahan demografi yang pesat.

Ini bermula , daripada memperluas penjagaan warga emas dan sokongan isi rumah bujang kepada menilai semula rangka kerja penjagaan kanak-kanak serta pendidikan dalam menghadapi kadar kelahiran yang merosot. – AGENSI, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here