PARIS: Kira-kira 1,000 pegawai polis Perancis bertugas awal pagi tadi untuk menjaga keselamatan pada perlawanan bola sepak Sukan Olimpik antara Israel dan Mali, aksi berisiko tinggi yang menyaksikan peminat mengibarkan bendera Palestin dan Israel.
Ketika lagu kebangsaan Israel dinyanyikan, ejekan kedengaran di Parc des Princes yang mana sekitar 25,000 penonton menyaksikan perlawanan itu.
Pada masa sama, sesetengah penonton menyarung baju dengan slogan “Free Palestine” terpampang di depannya.
Bendera Palestin dikibarkan oleh beberapa penonton yang menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dengan penyokong Israel.

Apabila penonton pro-Palestin memakai pelekat kuning yang ditampal dengan perkataan “Gaza: Silence kills”, mereka diberitahu oleh pengawal untuk membuangnya.
Perlawanan membabitkan Israel selain aksi Ukraine-Iraq di bandar selatan Lyon, dikenal pasti oleh pegawai keselamatan Perancis sebagai berisiko tinggi.
“Semua pertandingan mempunyai pelan keselamatan, tetapi memang benar kedua-dua perlawanan ini dan terutamanya perlawanan di Parc des Princes, akan mempunyai keselamatan, perimeter anti-keganasan,” kata Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin kepada televisyen BFM dan radio RMC sebelum sepak mula.
“Malam ini di Parc des Princes akan ada seribu pegawai polis yang memastikan kami berada di sana bagi aksi sukan,” tambahnya.
Presiden Israel, Isaac Herzog turut menghadiri perlawanan itu.
Semua atlet Israel di Paris 2024, yang bermula secara rasmi awal pagi Sabtu ini, akan dijaga secara peribadi sepanjang masa yang disediakan oleh polis elit Perancis, baik di dalam Perkampungan Olimpik dan setiap kali mereka meninggalkan perkarangan di utara Paris.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron kelmarin menolak tuntutan Palestin supaya Israel dihalang daripada menyertai Paris 2024 susulan perang di Gaza. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






