Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Gigi palsu adalah sejenis gigi yang boleh dibuat untuk dipakai dan ditanggalkan bagi mengganti gigi yang hilang.
Seperti mana gigi asli, gigi palsu juga perlu dijaga kebersihannya dengan teliti untuk mengelakkan pengumpulan plak bakteria pada gigi palsu.
Ini kerana plak bakteria boleh menyebabkan penyakit oral seperti radang mukosa mulut serta jangkitan kulat.
Penggunaan gigi palsu penting bagi mereka yang memakainya untuk mengunyah makanan, bercakap dan senyum di khalayak ramai.
Walaupun ianya hanya gigi palsu sarung, penjagaannya masih diperlukan seperti gigi yang asli bagi memastikan gigi itu dalam keadaan baik untuk jangka masa yang panjang.
Berikut adalah langkah umum penjagaan gigi palsu:
1. Membersihkan gigi palsu setiap hari: Lepaskan gigi palsu dan bersihkan dengan sikat gigi serta air, gunakan sabun ringan atau pembersih gigi palsu yang khusus.
2. Rendam gigi palsu: Rendam gigi palsu dalam larutan pembersih gigi palsu atau air biasa ketika tidak digunakan untuk menjaga kelembapan dan bentuk gigi palsu.
3. Membersihkan mulut: Berkumur dengan air garam atau ubat kumur yang disarankan oleh doktor gigi.
4. Hindari bahan kimia yang keras: Elakkan daripada guna bahan pemutih atau pembersih yang mempunyai bahan kimia kerana boleh merosakkan gigi tersebut.
5. Rutin pemeriksaan: Berjumpa doktor gigi secara rutin untuk memeriksa dan membersihkan gigi palsu serta memastikan tidak ada masalah dengan gusi atau mulut.
Bagaimanapun, perkara ini sedikit sukar untuk dibiasakan oleh pengguna gigi palsu terutamanya warga emas.
Namun, ianya tidak boleh dipandang remeh kerana mereka hanya bergantung kepada gigi tersebut untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
IMedikel TV






