Home Hiburan ENGGAN DABIK DADA

ENGGAN DABIK DADA

147
0

TEMPOH 14 tahun di dalam kerjaya industri seni lakonan tanah air tidak pernah menjadikan Jay Iswazir sebagai seorang yang bongkak mahupun meninggi diri.

Walaupun sudah mampu berdiri dalam kalangan nama-nama senior dalam cabang seni ini, Jay, 42, tetap menyambut baik kehadiran pelakon generasi baharu, walaupun ada antaranya bukanlah mereka yang memiliki latar belakang lakonan.

Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir Ismail berkongsi, bagaimana kehadiran generasi baharu pelakon terutamanya, pempengaruh media sosial menjentik fikirannya untuk terus mengkaji, apa yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

“Tentunya impian saya nak jadi teraju utama. Pernah ada, tapi yang serius betul-betul, belum ada. Saya percaya dengan rezeki dan sentiasa beringat agar tidak berada dalam zon selesa kerana sekarang kita dah berada dalam satu fasa yang permainannya berbeza.

“Contohnya, individu seperti pempengaruh dan bukan berlatarbelakangkan lakonan, tapi ada ‘content’ menarik dan orang suka. Saya kena gilap apa yang kurang pada diri saya supaya baru ada bukti untuk orang tawarkan kepada saya,” katanya.

Menurut Jay, walaupun cintanya terhadap seni tidak pernah berbelah bahagi, dia akur dan bersikap realistik sekaligus mengakui bahawa perlu ada keseimbangan antara seni dan perniagaan dalam penghasilan karya untuk layar lebar.

“Saya ambil benda positif. Kalaulah pempengaruh atau mereka yang tidak ada latar belakang lakonan ini boleh naik, kita kena kaji apa yang membuatkan dia tertarik. Bercakap mengenai filem, kita tak boleh lari daripada perniagaan. Saya tak tolak seni, tapi kena seimbangkan juga antara perkara itu,” katanya.

Kini, Jay sedang membintangi filem seram berjudul Dajal: Satu Malam Diperdajal arahan pengarah, Pierre Andre. Berkongsi pengalamannya untuk bekerja kali kedua di bawah arahan Pierre, Jay meluahkan rasa syukur kerana wujud keserasian antara mereka.

“Kali kedua bekerjasama dengan Pierre membuat saya teruja. Saya rasa, dia yang mengutarakan nama-nama pelakon kepada David Teo. Maknanya, kerjasama pertama kami itu membuatkan kami serasi.

“Sebagai pelakon, saya ada idea juga dan dia suka pelakon yang begitu. Gabungan idea yang memantapkan dan membuatkan hasil itu kemas, menarik perhatian dia,” katanya.

Berkongsi mengenai watak Adam yang dipegangnya dalam filem ini, Jay turut bercerita mengenai rujukannya, iaitu filem Pengabdi Setan dan bagaimana dia ingin filem kita, membawa identiti dan wajah kita. – HMetro Online –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here