Home Hiburan PENONTON BUKAN PUNCA FILEM GAGAL – ROSYAM NOR

PENONTON BUKAN PUNCA FILEM GAGAL – ROSYAM NOR

SHAH ALAM: Industri perfileman tempatan perlu berhenti menyalahkan penonton apabila sesebuah karya gagal mendapat sambutan, sebaliknya berani menilai semula pendekatan dari aspek kualiti, pemasaran dan nilai komersial, kata penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor.

Memetik laporan Berita Harian, Rosyam, 59, berkata, kegagalan sesebuah filem di pawagam tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu penonton, sebaliknya pihak produksi perlu berani menilai semula strategi dan pendekatan digunakan dalam menghasilkan serta memasarkan karya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berkata, senario semasa industri perfileman tanah air menuntut penggiat seni mengambil kira pelbagai aspek termasuk nilai komersial, populariti pelakon, pengarah serta kekuatan pemasaran, dan bukan sekadar bergantung kepada genre.

“Penonton tidak pernah salah. Mereka adalah pembeli. Hidangkanlah makanan yang sedap, makanan yang enak dengan bungkusan yang cantik, maka pembeli akan datang. Begitu juga filem.

“Walaupun filem epik, tetapi adakah ia mempunyai nilai komersial yang tinggi? Adakah pelakonnya popular? Pengarahnya siapa? Memang itulah dunia filem.

“Jangan kata filem epik sahaja, filem berlatar moden pun banyak yang tidak terjual. Setahun ada 52 minggu. Kalau setiap minggu ada satu filem Melayu, berapa sahaja yang benar-benar meletup?

“Jadi, ini bukan soal genre, tetapi pemasaran dan kualiti,” katanya ketika ditemui pada acara Meet & Greet bersama calon AMT 2026 di MyKart Raceway, di sini, baru-baru ini.

Rosyam berkata, terdapat karya yang mempunyai kualiti baik, namun gagal mendapat sambutan sewajarnya kerana kelemahan dari segi pemasaran dan publisiti.

Pelakon yang memulakan kerjaya seni pada usia 17 tahun itu berkata, kekurangan promosi yang berkesan menyebabkan kewujudan sesebuah karya tidak diketahui atau gagal sampai kepada khalayak sasaran.

“Kadang-kadang ada filem yang bagus, tetapi pemasarannya tidak. Mungkin juga filem itu tidak sampai kepada penonton kerana penerbit tiada peruntukan untuk membuat pemasaran.

“Contohnya, jika filem mengenai sukan lumba rali, Terbang bukanlah sesuatu yang diminati di Malaysia walaupun Karamjit Singh ialah juara dunia.

“Pengarahnya, Chiu Keng Guan, individu yang sama menghasilkan filem Ola Bola, tetapi filem itu laku kerana sukan bola sepak popular dan dekat dengan penonton.

“Irfan Zaini yang menerajui filem Terbang pula bukanlah dianggap figura yang cukup popular, cuma lakonannya kena dengan watak,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here