Home Buletin Semasa WISMA PUTRA NASIHAT RAKYAT MALAYSIA DI ARAB SAUDI KEKAL BERWASPADA

WISMA PUTRA NASIHAT RAKYAT MALAYSIA DI ARAB SAUDI KEKAL BERWASPADA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi supaya kekal tenang, berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa susulan situasi keselamatan di negara itu.

Nasihat berkenaan dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Riyadh menerusi laman rasmi.

“Rakyat Malaysia diminta mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi yang disampaikan melalui saluran rasmi serta mengelakkan kawasan berisiko tinggi.

“Mereka juga dinasihatkan supaya tidak mengambil atau menyebarkan gambar dan video berkaitan insiden keselamatan semasa yang boleh mencetuskan panik atau mengganggu operasi pihak berkuasa,” menurut Wisma Putra.

Wisma Putra berkata selain itu, rakyat Malaysia diminta merancang perjalanan dengan teliti serta menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan dan pihak lapangan terbang sebelum memulakan perjalanan.

“KBM Riyadh turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Arab Saudi supaya mendaftar dan mengemas kini maklumat keberadaan mereka dengan pihak kedutaan bagi memudahkan penyampaian maklumat serta bantuan konsular sekiranya diperlukan.

“KBM Riyadh sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan penting yang memerlukan perhatian rakyat Malaysia menerusi saluran rasmi,” kata Wisma Putra.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan boleh menghubungi talian hotline KBM Riyadh di +966 56 300 6319 atau melalui e-mel mwriyadh@kln.gov.my.

Talian telefon berkenaan adalah untuk urusan kecemasan sahaja.

Semalam, media antarabangsa melaporkan seramai 12 maut, manakala 309 lagi cedera susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here