Home Sukan ZII JIA KANDAS DI SUKU AKHIR

ZII JIA KANDAS DI SUKU AKHIR

HANGZHOU: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia sudah menampilkan persembahan terbaik tetapi ia masih belum cukup untuk membolehkan dia memenangi pingat di Sukan Asia Hangzhou.

Zii Jia, 25, mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk mengutip mata demi mata tetapi tetap gagal dalam usahanya melangkah ke separuh akhir.

Memetik laporan menerusi berita harian,Sebaliknya, pemain India, HS Prannoy yang keluar daripada gelanggang sebagai pemenang selepas bertarung selama 78 minit.

Pilihan kelima kejohanan itu yang dikatakan mengalami kecederaan belakang memenangi perlawanan dengan keputusan 21-16, 21-23, 22-20 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Binjiang.

Dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain China, Li Shi Feng dengan pilihan utama, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia bagi perebutan tiket ke pentas final.

Bagi Zii Jia, dia mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum menjawab soalan daripada pemberita.

Dia hilang kata-kata biarpun mengetahui yang dirinya sudah memberikan yang terbaik tetapi tetap tewas.

“Ia pelik kerana kadangkala anda sudah memberikan yang terbaik, anda sudah melakukan semuanya dengan betul tetapi keputusan menunjukkan sebaliknya.

“Namun, itu tidak penting kerana pada akhirnya kita hanya mahukan keputusan. Itu adalah hakikatnya.

“Bagi diri saya, untuk peminat Malaysia, bukan saya tidak mahukan keputusan tetapi ini adalah proses yang saya perlu lalui. Saya tidak pasti berapa lama lagi masa yang diperlukan.

“Saya belajar daripada setiap perlawanan, saya belajar dalam setiap kejohanan. Malah, saya sendiri tidak boleh menerimanya.

“Saya mendahului, saya bangkit di set kedua seperti drama bersiri. Saya tidak pasti bagaimana.

“Saya lebih merasainya kerana saya yang bermain di gelanggang,” kata Zii Jia.

Pemain kelahiran Kedah itu masih dalam pemburuan slot ke Sukan Olimpik tetapi mengakui dia masih jauh untuk mencapai apa yang dimahukannya iaitu menjadi pemain yang lebih stabil.

“Masih jauh untuk menjadi pemain yang lebih stabil,” tambah Zii Jia yang terkandas di pusingan 16 terbaik pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di suku akhir.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu cuba bangkit di set kedua tetapi belum cukup untuk mengatasi gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Pasangan China itu menang 21-14, 23-21 dan akan berdepan juara dunia dari Korea Selatan, Sea Seung Jae-Chae Yu Jung di separuh akhir.-Agensi-Berita harian online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here