Home Buletin Semasa POLIS TUMPASKAN SUSPEK KES SAMUN STESEN MINYAK, 4 WARGA PAKISTAN DIREMAN

POLIS TUMPASKAN SUSPEK KES SAMUN STESEN MINYAK, 4 WARGA PAKISTAN DIREMAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG:Siasatan pantas polis berhubung kes samun menggunakan senjata tajam terhadap seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh, dekat sini, pada Selasa lalu membawa kepada penahanan empat warga Pakistan termasuk dua wanita yang kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman sehingga 17 November depan itu dikeluarkan Majistret J Savinder Singh selepas kesemua suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, kira-kira jam 2 petang hari ini.

Kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur bermula semalam hingga awal pagi tadi hasil risikan serta operasi yang dijalankan polis.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 43 tahun kerugian kira-kira RM10,000 selepas disamun sekumpulan individu yang menggunakan taktik meminta sumbangan wang di sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang pegawai kanan polis  sedang mengisi minyak sebelun didatangi beberapa individu sebelum mereka meminta sumbangan kononnya bagi tujuan kebajikan.

Mangsa yang enggan memberikan wang dipercayai kemudian diserang menggunakan objek tajam sebelum suspek melarikan wang tunai miliknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan empat individu membabitkan dua lelaki dan dua wanita yang disyaki warga asing dari Asia Tengah.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai menggunakan modus operandi menghampiri orang awam di kawasan stesen minyak dengan alasan meminta sumbangan wang sebelum bertindak melakukan samun.

“Dalam kejadian berkenaan, suspek dipercayai bertindak agresif apabila menggunakan objek besi tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum melarikan barangan peribadi miliknya.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here