Home Luar Negara YOUTUBER THAI DISAHKAN MAUT KETIKA KEMBARA SOLO DI GEORGIA

YOUTUBER THAI DISAHKAN MAUT KETIKA KEMBARA SOLO DI GEORGIA

BANGKOK: Keluarga YouTuber terkenal Thailand, Hlun Solo mengesahkan kematiannya pada 30 Julai lalu, selepas dilaporkan terputus hubungan dengan ahli keluarga ketika mengembara bersendirian di Georgia bagi menghasilkan kandungan, lapor The Nation.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Hlun atau nama sebenarnya, Bowornthat Pengsuk, 27, terkenal sebagai pempengaruh kandungan kembara.

Keluarganya gagal menghubungi lelaki itu sejak 13 Julai sekali gus mencetuskan kebimbangan dan rayuan orang ramai di media sosial untuk membantu mengesan keberadaannya.

Selepas beberapa hari dalam ketidakpastian, keluarganya mengesahkan pada awal 30 Julai bahawa Hlun sudah meninggal dunia.

Kementerian Luar Thailand memaklumkan pihaknya berhubung dengan Kedutaan Besar Diraja Thailand di Ankara, Turkiye, dan pihak berkuasa tempatan di Georgia bagi menguruskan segala prosedur berkaitan termasuk penghantaran pulang mayatnya ke tanah air. 

Selain itu, pegawai Thailand turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kematian Hlun.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan merangkap jurucakap kementerian, Jaithai Upakaranitikaset berkata, pegawai dari Kedutaan Besar Diraja Thailand di Ankara, Turkiye sudah berlepas ke Georgia untuk bertemu pihak berkuasa tempatan yang kemudian mengesahkan kematian Hlun.

Sementara itu, Nenek Hlun, Som Plengsuk, 82, berkata, dia sebelum ini masih berharap cucunya berada dalam keadaan selamat dan akan pulang ke rumah seperti kebiasaannya selepas menamatkan setiap pengembaraan.

Som berkata, abang Hlun, Somsak Butsri, 29, menerima beberapa mesej daripada pengguna media sosial pada malam sebelumnya yang mendakwa Hlun sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, keluarga masih menunggu dokumen rasmi daripada pihak konsular sebelum meneruskan segala urusan berkaitan.

Nenek Hlun turut menolak dakwaan yang tular di media sosial bahawa cucunya membunuh diri di sebuah hotel di Tbilisi, ibu negara Georgia sambil menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan yang jelas mengenai punca sebenar kematiannya.

Ahli keluarga turut mempersoalkan tindakan polis Georgia yang didakwa gagal menghubungi mereka sedangkan maklumat pasport Hlun sepatutnya direkodkan ketika dia mendaftar masuk ke hotel berkenaan.

Pihak keluarga turut memohon supaya privasi mereka dihormati sepanjang menguruskan penghantaran pulang dan pengebumian jenazah selain menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here