Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Terserempak dengan tiga ekor gajah liar diatas jalan balak waktu malam antara kenangan tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang lebih 37 tahun bertugas sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP),” kata Penolong Pemeliharaan Hutan, Tengku Ishamuddin Tengku Kasim, 59.
Episod mencemaskan itu berlaku pada 2013 ketika beliau bersama beberapa rakan menaiki pacuan empat roda dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, kenderaan terpaksa mengundur sejauh kira-kira 100 meter bagi memastikan haiwan liar terbabit tidak bertindak menyerang.
Beliau yang mesra disapa ‘Renjer Tengku’ berkata, dalam keadaan cemas dan kegelapan malam itu kenderaan dinaiki hampir terjunam dalam gaung yang boleh mengundang kehilangan nyawa dikalangan kami.
Menurutnya, tanpa semangat dan minat yang mendalam pada tugas yang digalas tidak mungkin dia mampu bertahan hingga ke hari ini sebagai kakitangan JPNP dan akan bersara pada 1 Jun tahun depan.
“Pada 1993 ketika melalui jalan balak di Hutan Simpan Ulu Jelai, kenderaan pacuan empat roda yang saya dan beberapa rakan naiki hampir terjunam dalam gaung sedalam 150 meter disebabkan tersangkut pada kayu. Kami terpaksa mengikat pintu belakang kenderaan pada pokok.
“Sepanjang berkhidmat dengan JPNP banyak lagi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan, namun itu semua asam garam yang perlu dihadapi bagi mengawal khazanah hutan simpan di Pahang,” katanya yang kini bertugas di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Pengarah (AKP) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Sanjungan Budi Mekarnya Legasi 2026 JPNP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah JPNP, Datuk Zainuddin Jamaluddin. Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) JPNP, Dr Grippin Akeng.
Seramai 77 kakitangan JPNP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 76 menerima Anugerah Khas Pengarah termasuk dua Anugerah Wargakerja Contoh 2025. Turut diraikan bakal pesara.
Tengku Ishamuddin menegaskan, antara cabaran yang dihadapi sepanjang bertugas di PHD Raub sejak 2022 ialah menyekat aktiviti penerokaan hutan simpan untuk dijadikan kebun durian termasuk memusnahkan kebun haram secara berterusan walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan.
“Saya berharap kakitangan JPNP yang diberi amanah dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, ikhlas dan tidak mudah mengalah dengan setiap tugas yang dipikul. Ingat janji serta ikra kita sebagai kakitangan awam sebelum ini.
“Berbanggalah kita sebagai kakitangan JPNP yang bertanggungjawab menjaga hutan selain sebagai menjadi penyumbang hasil pada negeri,” katanya.
Beliau sebelum ini pernah bertugas di PHD Kuala Lipis, PHD Bentong, PHD Temerloh, PHD Jerantut dan Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, di sini.
IMedikel TV






