Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU : Empat lelaki ditahan polis disyaki terlibat dalam kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya, berhampiran lampu isyarat Taman Nesa Skudai, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar Nor berkata, kesemua suspek ditahan lebih kurang jam 7.30 malam tadi oleh sepasukan Polis dari bahagian Siasatan Jenayah JBU.
Katanya suspek lelaki tempatan berumur antara 16 hingga 25 tahun itu ditahan sekitar Skudai.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Manakala keputusan ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah.
“Kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azrol Anuar, pihak polis kini giat mengesan tiga lagi individu yang disyaki turut terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Kes disiasat dibawah seksyen 286 Kanun Keseksaan dan seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 49 saat di media sosial Facebook, memaparkan sekumpulan lelaki membakar mercun di persimpangan lampu isyarat dengan kenderaan sedang bergerak.
IMedikelTV






