Oleh: Wartawan IMedikel TV
TANAH MERAH, 8 November 2026: Seramai 34 individu termasuk empat warga tempatan ditahan dalam Op Inter Agensi KDNKA yang dilaksanakan di Pengkalan Haram Yuti, Nibong, di sini, pagi ini.
Operasi kira-kira jam 9.45 pagi itu menyaksikan penahanan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, terdiri daripada 18 lelaki dan 12 perempuan, selain empat warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui laluan tidak sah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan dan berdasarkan Perintah Gerakan KPD Bil. 269/2026.
Menurutnya, operasi diketuai Ketua Polis Balai Nibong dan Ketua Polis Balai Batu Gajah dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Polis Nibong, Balai Polis Batu Gajah, Balai Polis Bukit Bunga serta Balai Polis Lalang Pepuyu.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada empat warga tempatan yang ditahan positif dadah.
Polis turut menemukan sebotol cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 450 mililiter di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.
Dua kenderaan, masing-masing sebuah Perodua Myvi dan Honda City, serta sebotol cecair disyaki air ketum turut dirampas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang ditemukan di premis.
Sementara itu, kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dibaca bersama Seksyen 6(3) akta sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak melebihi enam kali.
Bagi kesalahan dadah dan pemilikan cecair disyaki air ketum pula, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, manakala Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.
IMedikelTV






