MOSCOW: Empat laras senjata api dirampas di lokasi insiden tembakan di bandar raya Krakow, Poland, Sabtu lalu, manakala tujuh lagi dijumpai di rumah suspek, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Pendakwa Raya Daerah, Kielce Daniel Prokopowicz, semalam.
“Tujuh laras senjata api dan sejumlah besar peluru dirampas di kediaman penembak.
“Empat senjata lagi ditemui di tempat kejadian di Krakow,” kata Prokopowicz kepada pemberita.
Memetik laporan Bernama melalui Berita Harian, Beliau berkata, rampasan terbabit bertepatan dengan maklumat agensi penguatkuasaan undang-undang bahawa pelaku dan bapanya memiliki permit bagi sejumlah 11 laras senjata api.
Katanya, penembak itu sendiri memiliki permit bagi dua senjata api.
Pada petang Sabtu lalu, polis Poland memaklumkan bahawa seorang individu tidak dikenali melepaskan tembakan dari sebuah kereta yang sedang bergerak di tengah bandar raya Krakow.
Polis kemudian melaporkan enam terbunuh, manakala 16 lagi cedera termasuk pegawai polis.
Penyerang yang cedera pula berjaya ditahan dan kini masih dirawat di hospital.
Mayat kakak dan ibu bapa suspek kemudian dijumpai ketika pemeriksaan dijalankan di kediamannya. – BERNAMA, BH Online –
IMedikelTV






