Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menyita sebuah lori jenis Lorry Rigid Dumper (LRD) yang dikesan beroperasi tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) selama lima tahun, selain tidak mempunyai perlindungan insurans dan gagal menjalani pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Lori berat yang dipercayai digunakan untuk membawa muatan pasir sungai itu dikesan dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) di Kilometer 10, Jalan Lamir-Ganchong, di sini, kelmarin.
Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan mendapati LKM kenderaan terbabit telah tamat tempoh sejak 14 Februari 2021.
Menurutnya, perlindungan insurans lori berkenaan pula tamat pada 28 Mei 2022, manakala pemeriksaan berkala PUSPAKOM tidak lagi sah sejak 14 Februari 2022.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan kesalahan membabitkan pemilik kenderaan yang membenarkan lori berkenaan digunakan di jalan raya tanpa LKM, perlindungan insurans serta pemeriksaan PUSPAKOM yang masih sah.
“Susulan tiga kesalahan besar yang dilakukan, kita bertindak menyita kenderaan terbabit di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Lori berkenaan kini disimpan di Depoh Sita SPK Paloh Hinai, di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau menegaskan, pematuhan terhadap peraturan berkaitan LKM, perlindungan insurans dan pemeriksaan berkala PUSPAKOM merupakan tanggungjawab setiap pemilik serta pengusaha kenderaan perdagangan.
Katanya, kegagalan memastikan dokumen dan kelayakan kenderaan sentiasa sah bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang, malah boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada semua pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, JPJ Pahang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“JPJ Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemandu serta syarikat pemilik kenderaan terbabit.
“Kita memandang serius kesalahan yang dilakukan. Ops Gempur Kenderaan Perdagangan Barangan dan sekatan jalan raya akan terus dilaksanakan di kawasan panas di negeri ini,” katanya.
IMedikelTV






