Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 61, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam, 8 November itu, mangsa yang merupakan penumpang hadapan sebelah kiri kereta pertama disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta pertama yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar bahagian belakang kereta kedua.

Perlanggaran itu menyebabkan kereta kedua merempuh kereta ketiga, manakala kereta ketiga turut melanggar bahagian belakang kereta keempat yang berada di hadapan.
Menurutnya, pemandu kereta pertama mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu dan penumpang tiga kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta pertama yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan perlanggaran berantai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, terutama ketika musim cuti perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan serta keadaan jalan yang licin akibat hujan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir menerusi talian 09-966 6222.
IMedikelTV






