Home Hiburan DR FIE, KAPTEN AMRUL RANCANG JELAJAH CSR KE 40 MASJID

DR FIE, KAPTEN AMRUL RANCANG JELAJAH CSR KE 40 MASJID

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Majlis persandingan pempengaruh media sosial, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, 36, bersama suami baharu, Kapten Amrul Anuar Nizar, 54, menjadi tumpuan tetamu dan peminat di Bayswater KLCC di sini hari ini.

Pasangan itu diraikan dalam suasana meriah selepas selamat diijabkabulkan pada 1 November lalu di Negeri Sembilan.

Amrul Anuar yang juga pengasas AFJets Sdn Bhd berkata, beliau dan isterinya merancang untuk meneruskan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk jelajah ke masjid-masjid di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Program jelajah ini akan dimulakan selepas pihaknya mendapat helikopter yang sesuai untuk menjayakan siri jelajah itu nanti.

“Kita akan lakukan meliputi seluruh Semenanjung dahulu melibatkan 40 masjid dan semestinya Kelantan turut termasuk dalam senarai itu,” katanya kepada Wartwan I Medikel TV ketika ditemui pada majlis persandingan berkenaan.

Menurutnya, Dr Fie juga akan turut serta dalam siri jelajah tersebut yang disifatkan sebagai sebahagian usaha kebajikan yang bakal terus diperkasakan oleh mereka selepas berkahwin.

Amrul Anuar berkata, hasrat memperluaskan program kebajikan itu turut didorong pesanan arwah bapanya yang mahu beliau terus melakukan amal kebajikan, khususnya di negeri kelahirannya, Kelantan.

“Kelantan memang dekat di hati saya dan kita akan teruskan lebih banyak program CSR selepas ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, beliau berkata, perkara itu masih belum ditetapkan memandangkan tumpuan ketika ini lebih terarah kepada urusan keluarga dan program kebajikan yang telah dirancang.

“Kalau ada yang nak sponsor, kami terima sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Terdahulu, Dr Fie yang juga bekas isteri penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad, selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Kapten Amrul dengan sekali lafaz, selain menerima mas kahwin berupa satu dinar emas. Hasil perkahwinan terdahulu, Dr Fie mempunyai tiga cahaya mata manakala Kapten Amrul yang berstatus duda mempunyai empat orang anak.

Sementara itu rakan sekerja Amrul Anuar, Kapten Hafiz Ghafar, 50, mengucapkan tahniah buat kedua-dua mempelai dan berharap jodoh mereka berpanjangan selamanya.

Bagi saudara dan sahabat sekolah Amrul Anuar, Ahmad Hazman Salleh, 53, berkata, diharapkan jodoh Amrul Anuar dan Dr Fie kekal hingga ke syurga dan terus menjadi orang baik-baik, manakala kenalan rapat, Datuk Aminuddin Yahya turut mendoakan kebahagiaan rumah tangga hingga ke akhir hayat.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here