KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tetap optimis untuk melakar kejayaan lebih besar musim ini meskipun langkah mereka terhenti di peringkat suku akhir dalam dua kejohanan pembuka tirai musim 2026.
Memetik laporan Berita Harian, gandingan keenam dunia itu sekali lagi terkandas di suku akhir selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada Terbuka India malam tadi dengan keputusan 15-21, 21-15, 19-21.
Sebelum itu, Wei Chong-Kai Wun turut mengalami nasib sama di Terbuka Malaysia apabila tewas kepada beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 17-21, 14-21.
Walaupun belum berjaya menembusi separuh akhir, Wei Chong menganggap pencapaian berkenaan sebagai petanda positif namun menegaskan sasaran sebenar mereka adalah lebih daripada suku akhir.
“Kami sudah mara ke suku akhir dalam dua kejohanan. Sudah tentu kami mahu pergi lebih jauh dan berada di pentas podium,” kata Wei Chong ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas kekalahan kepada beregu China itu, khususnya dalam set penentuan, Wei Chong mengakui aspek pertahanan perlu diperkemaskan bagi memastikan prestasi lebih konsisten pada perlawanan berintensiti tinggi.
“Saya rasa pertahanan kami masih belum cukup konsisten dan itu perlu diperbaiki,” katanya.
Selepas ini, Wei Chong-Kai Wun akan memberi tumpuan kepada Masters Indonesia yang bermula Selasa ini, dengan status juara bertahan menjadi dorongan tambahan buat mereka.
Sebagai rekod, pasangan negara itu dijadual membuka kempen di Istora Senayan menentang rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, pada pusingan pertama. – BH Online –
IMedikel TV






