Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sedang memantau sebanyak 500 projek pembangunan infrastruktur di Kelantan membabitkan nilai keseluruhan RM27.46 bilion yang disalurkan menerusi Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pengarah ICU JPM Kelantan, Jasri Kasim berkata projek yang dipantau itu membabitkan 118 projek baharu dan 382 projek sambungan.

“Kita sedang pantau projek pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Lebuhraya Kota Bharu Kuala Krai (KBKK), dan projek baharu seperti Pembesaran Jalan Pasir Hor di Kota Bharu.
“Kita pantau agar projek ini siap mengikut jadual yang ditetapkan dan sekiranya lewat siap kita akan ambil tindakan berdasarkan isu yang terlibat agar tindakan dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI, Kampung Guchil Bayam, di Masjid Al-Husna Kampung Baung Bayam, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Jasri berkata sebanyak empat buah kampung termasuk Kampung Guchil Bayam dan Kampung Sungai Keladi di Kota Bharu serta Kampung Belimbing dan Kampung Pangkal Manak di Tanah Merah telah menjadi Kampung Angkat MADANI di bawah ICU JPM Kelantan setakat ini.
Dalam pada itu, berhubung pembinaan jambatan besi di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, beliau berkata projek itu sudah bermula hari ini dengan kos kira-kira RM200,000 dan dijangka siap dalam masa enam minggu.
”Kita kena pastikan jambatan ini siap dengan kukuh, dan kontraktor juga sudah bersetuju untuk mulakan kerja baik pulih hari ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju membina jambatan besi bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai.
Pada 1 Januari lalu, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh hingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
IMedikel TV






