Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang tawaran badal haji yang meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Menterinya, Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, peringatan itu dikeluarkan dari semasa ke semasa susulan kebimbangan terhadap kes penipuan berkaitan ibadah tersebut.
“Setakat hari ini keadaan masih terkawal malah pelajar Malaysia di Arab Saudi turut tampil mengeluarkan kenyataan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu berkenaan.
“Sekiranya ada ketidakpastian boleh rujuk kepada Lembaga Tabung Haji (TH) agar penipuan itu dapat kita elakkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA) Kelantan, di Kozee Kopi dan Pastri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Abdul Khudus Mohd Naaim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohammad serta Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Arham Abdullah.
Beliau berkata, TH turut mempergiat pemantauan bagi membendung sebarang unsur penipuan bukan sahaja dilakukan di media sosial, malah turut melibatkan pemerhatian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, ianya dilaksanakan melalui pasukan khas yang memantau pergerakan jemaah bagi memastikan tiada individu menjadi mangsa penipuan pada saat akhir.
Dalam majlis tersebut, beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, dengan kerjasama Majlis Pemulihan Negeri Kelantan, merupakan satu usaha yang amat baik dalam memperkasa keupayaan seramai 30 golongan orang kurang upaya (OKU).
“Pendekatan bersepadu meliputi pemindahan ilmu, latihan kemahiran teknikal, dan pembangunan keusahawanan mampu menghasilkan tenaga kerja OKU yang kompeten serta mewujudkan platform operasi sebenar melalui penubuhan kafe sebagai ‘living lab’,”katanya.
IMedikel TV






