Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah yang berkunci berhampiran Petron Batu 6, Kuala Krai, di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Wan Asri Wan berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.46 petang memaklumkan terdapat mangsa berada di dalam sebuah rumah yang berkunci.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.02 petang,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati benar terdapat sebuah rumah yang berkunci sebelum bertindak membuka pintu rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita warga emas berusia 83 tahun berada di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Mariam Mat Saman, 83.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), tujuh anggota BBP Tunjong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ambulans KKM.
IMedikel TV






