MANCHESTER: Vinicius Jr menggunakan ejekan penyokong Manchester City sebagai motivasi untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam kemenangan Real Madrid 3-2 dalam aksi pertama play off Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Penyokong tuan rumah di Etihad mempamerkan sepanduk bergambar Rodri bersama trofi Ballon d’Or dengan tulisan ‘Berhenti menangis sepuas hati’, jelas menyindir Vinicius yang sebelum ini menyatakan bahawa perjuangannya menentang isu perkauman menyebabkan dia tidak memenangi anugerah berprestij itu tahun lalu.
Bagaimanapun, bintang Brazil itu enggan melayan provokasi dan membalasnya dengan aksi luar biasa, termasuk membantu Jude Bellingham menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.
“Iya, saya nampak (sepanduk itu). Kadang-kadang penyokong lawan melakukan perkara yang memberi saya dorongan tambahan untuk bermain lebih baik,” kata Vinicius, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
“Saya melakukannya sekali lagi malam ini dan kami berjaya menang.”
Real enggan menghadiri majlis Ballon d’Or 2023 kerana sudah menjangkakan Vinicius tidak akan menang, meskipun ramai termasuk Cristiano Ronaldo menganggapnya lebih layak.
Bagaimanapun, Vinicius akhirnya memperoleh pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Pemain Terbaik FIFA 2024 pada Disember lalu.
Dengan kemenangan di Etihad, Real kini berada dalam kedudukan lebih baik menjelang aksi timbal balik di Santiago Bernabeu minggu depan.
“Kami perlu kembali ke Madrid dan penyokong kami pasti menjadikannya malam istimewa,” tambah Vinicius.
“Perlawanan kedua pasti sukar, tetapi kami harus mengekalkan momentum ini dan bertahan seperti yang kami lakukan malam ini untuk memastikan satu lagi malam ajaib di hadapan penyokong sendiri.”
Real akan menanti kunjungan juara bertahan Manchester City dalam aksi kedua pada 21 Februari untuk menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






